Pertandingan memancing GP Belawai meriah dengan penyertaan 315 peserta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TANJUNG MANIS: Elarianne muncul juara pertandingan memancing GP Belawai Siri 1/2026 selepas berjaya mendaratkan seekor ikan pari seberat 5.550 kilogram (kg).

Selaku juara, beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Naib juara dimenangi Awang Mohammad Liwauddin yang berjaya menaikkan ikan seberat 5.538 kg dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula menjadi milik Bujang Bernard selepas berjaya mendaratkan ikan seberat dua kilogram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Pertandingan yang dianjurkan bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dan Restoran dan Pusat Peranginan Iftitah, Belawai itu berlangsung meriah dengan penyertaan seramai 315 peserta terdiri daripada pemancing luar serta komuniti setempat.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Pada sebelah pagi, beliau merasmikan pelepasan peserta pertandingan, program pelepasan benih ikan siakap ke laut serta mengadakan lawatan ke Kilang Demonstrasi dan Penyelidikan Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, penganjuran GP Belawai bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemancing di samping mempromosikan Pantai Belawai sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi.

“Di samping itu, penganjuran program turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat melalui peningkatan kehadiran pengunjung dan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.

“Diharapkan program ini akan diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih besar dan memberi manfaat berterusan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Katanya, sambutan menggalakkan terhadap pertandingan tersebut membuktikan aktiviti memancing rekreasi mampu menjadi antara tarikan utama pelancongan di Belawai dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat.

Oleh Earl Anek