Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pertahan hak Sarawak berlandaskan MA63, rakyat diseru terus bersatu
  • TEMPATAN

Pertahan hak Sarawak berlandaskan MA63, rakyat diseru terus bersatu

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO’ Sri Doris Sophia Brodie pada Majlis Santai: Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Jarit, Keranggas Mudur, Keranggas, semalam. Foto Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.202 Sri Aman 

PANTU: Seluruh rakyat Sarawak digesa untuk terus memperkukuh perpaduan dan berdiri teguh dalam usaha mempertahankan serta menuntut semula hak-hak negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat amat penting bagi memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus dipelihara serta dihormati di peringkat Persekutuan.

Menurut beliau, sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, terdapat beberapa hak Sarawak yang semakin terhakis, termasuk dari segi perwakilan kerusi Parlimen.

Katanya, pada masa ini Sarawak hanya mempunyai 31 kerusi Parlimen, manakala Sabah mempunyai 25 kerusi dan Wilayah Persekutuan Labuan satu kerusi.

“Secara keseluruhannya, jumlah 57 kerusi ini hanya mewakili kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai: Prihatin Menyantuni Rakyat di Rumah Jarit, Keranggas Mudur, Keranggas, semalam.

Doris turut menjelaskan bahawa keadaan tersebut tidak memperlihatkan semangat asal MA63 yang mengiktiraf kedudukan istimewa Sarawak dan Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.

Menurut beliau, perubahan komposisi kerusi Parlimen berlaku selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965.

“Apabila Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, sebanyak 15 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada Singapura telah diagihkan kepada Semenanjung Malaysia.

“Keadaan ini menyebabkan Sarawak dan Sabah kehilangan peluang untuk mengekalkan prinsip satu pertiga (1/3) kerusi Parlimen sebagaimana yang dihasratkan dalam semangat pembentukan Malaysia,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Doris menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu dan memberikan sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai wadah politik yang memperjuangkan hak-hak Sarawak.

Beliau berkata sokongan berterusan kepada GPS penting bagi memastikan suara rakyat Sarawak terus didengar, dihormati dan diberi perhatian dalam setiap dasar yang melibatkan kepentingan negeri itu di peringkat Persekutuan.

Turut berucap pada majlis tersebut ialah Penghulu Angin serta Tuai Rumah Jarit, manakala majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muafakat itu dihadiri kira-kira 30 orang Tuai Rumah dari kawasan sekitar.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Ketua kampung perlu pastikan maklumat bantuan sampai kepada rakyat
Next: Ketidakseimbangan pasaran kerja Sri Aman, Betong perlu ditangani segera

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.