KUCHING: Penganjuran Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan (iCERI) 2024 adalah sejajar matlamat kerajaan Sarawak, menjadikan pendidikan sebagai pemboleh ubah dalam menjayakan objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata persidangan itu menyediakan platform untuk memupuk inovasi, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan pendidik dan juga pelajar.
”Melalui persidangan ini yang dihadiri pendidik dari pelbagai negeri dan luar negara, pelbagai topik dibincangkan merangkumi pendekatan berpusatkan pelajar kepada pendidikan STEM, mencerminkan sifat pendidikan yang pelbagai dan keperluan untuk penyelesaian holistik.
”Persidangan ini akan menyediakan platform untuk pendidik, penyelidik dan penggubal dasar bertukar idea, berkongsi pandangan dan bekerjasama dalam projek inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan (iCERI) 2024 yang dianjurkan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGMKTAR) di salah sebuah hotel di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah IPGMKTAR, Yahya Sedik berkata penganjuran persidangan itu bertujuan mewujudkan platform untuk berkongsi pandangan global dan amalan terbaik dalam pendidikan, menggalakkan kerjasama silang budaya untuk menangani cabaran pendidikan global.
Selain itu, bagi menangani halangan kepada pembangunan pendidikan melalui strategi kolaboratif dan juga mengkaji arah aliran baharu termasuk integrasi teknologi dan pendekatan pedagogi.
”Persidangan tahun ini mengalu-alukan lebih 100 pembentang, termasuk peserta dari Brunei dan Hong Kong, yang menekankan kepentingan antarabangsanya.
”Dalam kategori inovasi, ramai pendidik, pelajar dan pelatih akan membentangkan sumbangan cemerlang mereka, menyerlahkan semangat kreatif memacu pendidikan moden,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA