PROSES kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya di Sarawak kemungkinan besar dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tahun ini, setelah kali terakhir langkah itu dibuat di negeri ini pada 2015.
Tujuannya adalah untuk menambah jumlah kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kedua-duanya sekali. Sekarang ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dan 82 kerusi DUN, menjadi DUN terbesar di Malaysia.
Kali terakhir persempadanan itu dilakukan pada 2015, menyaksikan pertambahan 11 kerusi DUN daripada 71. Daripada 11 kerusi itu, tiga kawasan majoriti Melayu/Melanau iaitu Gedong, Kabong dan Tellian, tiga majoriti Iban di Stakan, Selirik dan Samalaju; dua Orang Ulu di Murum dan Long Lama, dua Bidayuh di Serembu dan Triboh, dan satu majoriti Cina di Batu Kitang.
Sudah empat kali SPR melakukan persempadanan semula bagi Sarawak. Yang pertama pada 1985, dengan peningkatan daripada 48 kerusi menjadi 56 kerusi DUN. Seterusnya pada 1995 apabila jumlah kerusi bertambah kepada 62, sebelum meningkat menjadi 71 pada 2005. Persempadanan pada 2015 adalah jumlah pertambahan paling banyak dalam tempoh setengah abad lalu, sekali gus menjadikan Sarawak memiliki kerusi DUN terbanyak di negara ini.
Bagaimanapun, timbul satu persoalan iaitu bagaimana kaedah diguna pakai SPR untuk kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya di negeri ini nanti. Apakah masih menggunakan kaedah lazim iaitu ‘one man one vote’ (seorang satu undi) iaitu dinilai berdasarkan jumlah pengundi atau keluasan kawasan.
Kaedah ‘one man, one vote’, bermaksud kerusi yang mungkin dipecah untuk diberi tambahan kerusi Parlimen dan DUN ialah di kawasan bandar seperti di Kuching, Stampin, Miri, Bintulu, Sibu, dan Lanang, kerana populasi banyak dan bukan seperti di Baram, Ulu Rajang atau Kapit yang mempunyai kawasan yang begitu luas tetapi populasi sedikit.
Isu ini turut diulas oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Isnin lalu apabila ditanya oleh wartawan. Katanya, penggunaan kaedah ‘one man, one vote’, akan menyebabkan kawasan luar bandar dan pedalaman tidak akan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen atau DUN kerana populasi rendah.
“Memang ada dua (kaedah), dan kita berdasarkan sistem Westminster, dan semua negara-negara Komanwel mengikut demokrasi ala Westminster. Sekiranya, kaedah ‘one man, one vote’ ini diguna pakai, maka kawasan pedalaman yang mempunyai populasi yang rendah tidak akan ada wakil rakyat,” katanya pada sidang media selepas melawat Dataran Ibu Pertiwi.
PBB akan hantar ‘memo’
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, parti itu akan mengemukakan cadangan mengenai urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak kepada SPR dan PBB juga mempunyai jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab untuk melihat isu persempadanan semula.
“Buat masa ini perkara itu (persempadanan semula) masih lagi dalam kajian. Kita akan buat cadangan sahaja kerana keputusan muktamad adalah pada SPR,” katanya.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan Isnin lalu antara lain memberi bayangan positif akan berlaku perubahan apabila menyebut ‘bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan dan perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan’
Kita berharap bab ‘kesukaran perhubungan dan luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan dan perhatian’ dilakukan kerana banyak kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini yang begitu luas. Parlimen Baram umpamanya adalah sebesar negeri Pahang.
Hanya Sarawak terbabit dalam proses persempadanan semula bahagian pilihan raya kali ini kerana sudah melepas lat lapan tahun, dengan kali terakhir pada 2015. Di Semenanjung pula dilakukan pada 2018, manakala bagi Sabah 2017.
Abdul Ghani berkata SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Apapun, diharapkan SPR turut mengambil kira semangat Perjanijan Malaysia 1963 (MA63) apabila melakukan proses mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya nanti.
Ini kerana Sarawak dan Sabah kini sedang menuntut satu pertiga kerusi Parlimen bagi kedua-dua negeri Borneo ini seperti termaktub dalam MA63. Jika SPR gagal berbuat demikian, maka ia bercanggah dengan pendirian Kerajaan Perpaduan sekarang yang memberi respons positif terhadap tuntutan itu.
Kerusi Singapura
Inilah masanya bagi SPR berbuat demikian kerana jika tidak, Sarawak terpaksa menunggu lat lapan tahun lagi. Biarlah ia bermula di Sarawak dan kemudian Sabah pada 2025 nanti.
Kita perlu imbas kembali kedudukan kerusi ini. Sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga. Bila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963, termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Oleh itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.
Terpulang kepada SPR untuk mengkaji dan membahagikan 21 kerusi Parlimen antara Sarawak dan Sabah.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak