KUCHING: Kerajaan Sarawak meraikan Majlis Persaraan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mohd. Shahabuddin Omar sebagai penghargaan kepada jasa dan bakti beliau kepada negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh Datuk Mohd. Shahabuddin begitu besar dalam bidang pengurusan kualiti penyampaian perkhidmatan dan juga pembangunan prasarana di Sarawak.
Tambahnya, hubungan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri sentiasa terjaga dan harmoni sepanjang tempoh perkhidmatan beliau selama hampir dua tahun di negeri ini.
“Majlis ini diadakan kita sebagai penghargaan dan terima kasih daripada Kerajaan Negeri kepada Datuk Shahabuddin yang telah banyak menabur bakti kepada negara Malaysia khususnya Wilayah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Sekalung Budi sempena persaraan Datuk Shahabuddin yang dianjurkan di Kuching, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Jaul Samion berkata, di bawah kepimpinan Datuk Mohd. Shahabuddin, beberapa projek dilaksanakan Pejabat Persekutuan Sarawak telah memberi impak yang sangat besar kepada negeri ini.
“Antaranya adalah Projek pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kuching, Projek Pembinaan Kuarters Gunasama Persekutuan Bintulu dan Pembaikan Bangunan Gunasama Persekutuan,” ujarnya.
Turut hadir, Pemangku Peguam Besar Negeri Sarawak, Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan), Datu Dr. Sabariah Putit dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Luar Bandar), Datu Ik Pahon Joyik.
Oleh JEAKQLEYN YACHO