
LAWAS: Rakyat Sarawak khususnya di Lawas perlu memastikan perpaduan antara rakyat berbilang kaum sentiasa dipelihara teguh.
Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong berkata perpecahan yang berlaku akan hanya mendatangkan kehancuran kepada Sarawak.

Tegasnya, tanggungjawab memastikan perpaduan di Sarawak terus kukuh pada masa depan terletak di bahu golongan belia hari ini.
“Jadi, kepada anak-anak muda, inilah pesanan kami orang tua agar terus memastikan masa depan Lawas terus maju.
“Ini merupakan wawasan kita bersama dan semangat perpaduan serta keharmonian perlu terus dipelihara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh,” katanya ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Larian Santai 722 Lawas 2026 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cabang Lawas sempena Hari Sarawak di Arena Lawas hari ini.

Seramai 350 peserta terdiri daripada belia dan warga emas daripada pelbagai latar belakang menyertai larian sejauh 3.5 kilometer.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengerusi SUPP Cabang Lawas Liaw Ho Peng, Ketua Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan Steve Lius dan tetamu lain.
Oleh Adeng Edrus




