KAKITANGAN dan pelajar semasa pelancaran Aplikasi Mudah Alih Geologi Miri.
Ramai pelajar yang menghadapi kesukaran untuk mendalami bidang geologi kerana beberapa kekangan seperti bidangnya yang agak kompleks, perbendaharaan kata berkaitan geologi yang meluas serta perlu pemahaman tentang proses geologi di dalam dunia sebenar.
Menurut pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam Curtin Malaysia, Ir. Dr. Vera Loo, kajian terhadap subjek itu agak mencabar bagi semua pelajar.
Dari pengalaman sendiri sebelum ini sebagai pelajar kejuruteraan awam yang meminati kejuruteraan geologi, beliai mengakui mengingati istilahnya sahaja sudah agak mencabar, apatah lagi kajian secara keseluruhan.
Bagaimanapun, beliau mendapati cara belajar lebih baik dengan menggabungkan pembelajaran dalam kelas dengan contoh dunia sebenar.
Menyedari kesukaran yang dihadapi para pelajar bidang ini, Dr Loo mengilhamkan satu aplikasi khas, Aplikasi Mudah Alih Geologi Miri bagi memudahkan para pelajar untuk mengkaji geologi dan kejuruteraan di universiti berkenaan.
Beliau mengetahui projek ini yang juga disertai oleh dua lagi kakitangan pengajar, seorang graduan dan seorang pelajar dari universiti berkenaan.
Aplikasi berkenaan dilancarkan baru-baru ini semasa Seminar Pengajaran dan Pembelajaran yang diadakan di kampus Fakulti Kejuruteraan dan Sains.
Projek pembangunan aplikasi ini dibiayai oleh Projek Inovasi dan Pembelajaran Curtin Malaysia (CMTIP) dan direalisasikan dengan kerjasama Profesor Madya Prasanna Mohan Viswanathan dari Jabatan Geologi Gunaan dan pensyarah Foad Motalebi dari Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Komputer.
Lain-lain ahli di dalam pasukan berkenaan adalah graduaan Kejuruteraan Awam dan pembangun aplikasi mudah alih Kelvin Ling dan pelajar jurusan Ijazah Tinggi dengan Penyelidikan (HDR), FIanita Anthony, yang membangunkan reka letak aplikasi dan menyumbang sebahagian kandungannya.
Menurut Dr Loo, sasaran aplikasi ini adalah membolehkan para pelajar menghubungkan pembelajaran di dalam kelas dengan dunia sebenar. Ia menyokong pembelajaran pelajar tentang prinsip-prinsip asas geologi dan merasai pengalaman geologi di dalam dunia sebenar, seterusnya meningkatkan serta memperkayakan pembelajaran dan pemahaman tentang geologi.
Kata beliau, kawasan Miri kaya dengan bentuk geologi dan kepelbagaian batuan sedimen, fosil dan struktur, sebagaimana yang dipaparka di dalam aplikasi berkenaan.
“Kami berharap aplikasi ini akan membantu para pelajar kami untuk menghargai keindahan geologi ini dan lebih bermotivasi untuk mendalami geologi. Kami berharap mereka akan menjadi penerima aktif informasi,” kata Ir. Dr. Loo.
Sementara itu, Dr. Prasanna yang merupakan Ketua Jabatan Geologi Gunaan berkata, aplikasi ini memaparkan lokasi-lokasi utama seperti Tanjong Lobang, Bakam, Jalan Tai Food an Pantai Tusan yang sememangnya kata dengan paparan geologi.
Di Tanjong Lobang, bantuannya unik berwarna merah-coklat disebabkan kandungan besi yang tinggi, di kawasan Jalan Tai Foo pula kaya dengan sedimen dan struktur biogenik, manakala kawasan Bakam pula terkenal dengan tinggalan fosil dan Pantai Tusan popular kerana struktur pesisir yang terbentuk akibat hakisan.
Sebagai tambahan, aplikasi ini memaparkan banyak gambar batu-batuan yang dikumpul di sekitar Miri, deformasi batu-batuan, struktur sedimen dan tanah runtuh, selain video. Lokasi Peta Google juga diberikan untuk semua gambar bagi membolehkan para pelajar mencari lokasi dengan mudah.
Sementara itu Foad berkata, walaupun versi asal aplikasi mudah alih ini dibangunkan untuk Android, para pengguna dari platform lain juga boleh menggunakannya dengan memuat naik Bluestacks 5 pada peranti masing-masing.
Versi masa hadapan akan dibangunkan khas untuk lain-lain platform dan paparan yang lebih sofistikated di dalam aplikasi, bergantung kepada permintaan dan maklum balas pengguna.
Pengguna boleh mencari ‘Miri Geology’ di dalam Google Play Store untuk memuat turun aplikasi mudah ahli ini, atau memuat turun di https://play.google.com/store/apps/details?id=com.Curtin.curterramiri.
“Sebagai tambahan kepada para pelajar, kami juga berharap aplikasi ini akan memberi manfaat kepada orang lain yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang geologi di Miri. Kami mengalu-alukan maklum balas daripada para pengguna yang boleh memberi komen-komen menggunakan borang maklum balas di dalam aplikasi,” kata Dr Loo.
Oleh HAINI DARANI