
BINTULU: Seramai 229 pemanah dari seluruh Sarawak serta beberapa negeri dan negara jiran menyertai Kejohanan Memanah Terbuka Bintulu 2025 yang berlangsung selama tiga hari di sini, baru-baru ini.
Pertandingan anjuran Persatuan Memanah Tradisional Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Memanah Bintulu dan Assyakirin Tradisional and Modern Archery (ATMA) itu terbuka kepada semua pemanah dari dalam dan luar negeri termasuk Sabah, Pahang, Kuala Lumpur, Kelantan serta negara Brunei Darussalam.


AKSI PESERTA… Antara peserta yang menyertai Kejohanan Memanah Terbuka Bintulu 2025 yang menghimpunkan 229 pemanah dari seluruh Sarawak, negeri lain serta Brunei Darussalam.
Presiden Persatuan Memanah Bintulu, Bujang Ham berkata, objektif utama kejohanan adalah untuk mencungkil serta mengasah bakat baharu, khususnya dalam kategori ‘recurve’ dan ‘compound’ bagi memperkukuh barisan atlet memanah negeri Sarawak.
Menurutnya, selain menjadi medan persaingan sihat, kejohanan itu juga berperanan sebagai platform penting untuk menilai potensi atlet yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini merupakan acara tahunan kami dan acara besar seterusnya adalah Festival Memanah Sarawak pada 19 dan 20 Julai ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah adalah Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara, Alan Ling Sing Kiong dan Penguasa MySED Bahagian Bintulu, Barin Medan.
Kejohanan tersebut turut mendapat tajaan daripada Milo Malaysia, LA Sport Corporation, Yume Great Sport dan Pegawai Khas Jepak Jaya Development, Muhamad Ali Asfia, yang sentiasa komited menyokong pembangunan sukan memanah tempatan.
Penganjuran kejohanan seumpama itu mencerminkan komitmen pihak penganjur dalam memperkukuh kedudukan sukan memanah sebagai antara sukan kompetitif yang berpotensi tinggi di Sarawak.
Oleh Carolyne Utih