
ZAGREB, Croatia: Selama hampir sebulan, sebuah syarikat Croatia telah melancarkan perkhidmatan robotaksi pertama di Eropah di jalan raya Zagreb, AFP antara wartawan terawal mencubanya pada Selasa.
Disokong oleh Uber dan dikuasakan oleh syarikat pemanduan autonomi dari China, Pony.ai, syarikat Verne dari Croatia telah mengendalikan 10 kenderaan automatik untuk sejumlah pelanggan terpilih di bandar itu sejak 8 April.
Walaupun perkhidmatan seumpamanya telah tersedia di China dan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu, pelbagai syarikat masih bersaing untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi autonomi di jalan raya Eropah.
Perkhidmatan Verne direka untuk beroperasi sepenuhnya secara autonomi, dengan seorang “operator” manusia ditempatkan sementara di tempat pemandu semasa pelaksanaan berperingkat ketika ini, sekiranya campur tangan diperlukan.
Operasi Lancar
Semasa perjalanan AFP menggunakan perkhidmatan itu, yang menurut syarikat digunakan oleh kira-kira 300 orang, operator berkenaan seorang pekerja Verne bernama Deni Link tidak perlu campur tangan sama sekali.

Perjalanan yang kebanyakannya lancar hanya terganggu apabila sebuah kenderaan dari arah bertentangan memasuki lorong yang salah, sekali gus menyebabkan kenderaan itu membrek secara mengejut.
“Maaf, kami terpaksa membrek,” kata suara wanita yang tenang kepada AFP dan penumpang lain.
Walaupun keadaan trafik di Croatia sering sibuk serta persimpangan jalan yang kompleks, ketua operasi negara Verne, Filip Cindric, berkata kebanyakan perjalanan diselesaikan “tanpa sebarang campur tangan.”
Menurut Cindric, yang turut mengiringi AFP dalam perjalanan itu, 90 peratus pengguna memberikan penilaian empat atau lima bintang, tanpa sebarang insiden perlanggaran dilaporkan sepanjang puluhan ribu kilometer perjalanan.
Pengembangan Berperingkat
Walaupun perkhidmatan itu pertama kali diumumkan pada awal April, kenderaan berkenaan jarang kelihatan di jalan Zagreb.

Buat masa ini, kenderaan tersebut beroperasi di pusat bandar, sebahagian kawasan selatan serta sekitar lapangan terbang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Verne, Marko Pejkovic, kepada AFP.
“Pengembangan dilaksanakan secara berperingkat, dengan setiap zon baharu hanya diperkenalkan selepas pengesahan terperinci dan setelah sistem terbukti boleh dipercayai dalam keadaan dunia sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, minat terhadap perkhidmatan automatik yang berharga 1.99 euro (AS$2.32) bagi setiap perjalanan adalah tinggi, dengan kira-kira 4,000 orang kini berada dalam senarai menunggu.
Pejkovic berkata harga rendah itu bertujuan menarik pengguna serta menggalakkan maklum balas, dengan harga dijangka meningkat seiring perkembangan perkhidmatan. – AFP