KERAJAAN tempatan dirujuk sebagai sistem pentadbiran yang berfungsi di peringkat paling kecil sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Penubuhan dan kewujudannya bergantung kepada jumlah penduduk dan kemudahan yang ada. Kerajaan tempatan ini yang berfungsi dalam mengurus dan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan kepada masyarakat di kawasan yang ditadbir seperti penjagaan sosial, sekolah, perumahan dan perancangan bandar serta pengumpulan sisa.
Kerajaan tempatan ini juga berfungsi dalam pelesenan, sokongan perniagaan, perkhidmatan pendaftaran dan kawalan perosak. Semasa pentadbiran British di Tanah Melayu mereka berperanan penting dalam pembangunan kerajaan tempatan. Mereka telah mengorganisasikan beberapa penempatan di Tanah Melayu menjadi kawasan pentadbiran. Pulau Pinang menjadi kawasan pertama dibentuk sebagai kerajaan tempatan oleh penjajahan British di Malaysia apabila pada 1801 ditubuh Council of Assessors.
Brooke
Di Sarawak penubuhan kerajaan tempatan agak lewat. Ia bermula pada 1920-an dengan Kuching sebagai kerajaan tempatan pertama. Kerajaan tempatan di Kuching ditubuh dibawah Order XXVIII of 1921 yang dikenali sebagai Kuching Sanitary and Municipal advisory Board. Lembaga ini terdiri daripada lima orang wakil orang Eropah, empat orang Cina, seorang Melayu dan seorang India.
Pada 1934 lembaga ini disusun semula sebagai Majlis Perbandaran Kuching. Dari Kuching beberapa lagi kerajaan tempatan ditubuhkan di Sarawak seperti Bau, Sibu, Sarikei, Miri dan Binatang (Bintangor). Di kawasan luar bandar pula diperkenalkan jawatankuasa luar bandar untuk mengantikan peranan ketua-ketua masyarakat tetapi gagal dilaksanakan kerana serangan Jepun.
Perubahan
Perkembangan kerajaan tempatan di Sarawak diteruskan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Gabenor Charles Arden Clarke pada lewat 1947 mengeluar satu kenyataan bertulis bertajuk ‘Note on Department of Local Government in Sarawak’ telah memperincikan lagi usaha memperkasakan majlis tempatan di Sarawak. Nota itu menyatakan dan mencadangkan penubuhan pihak berkuasa bersifat monoetnik di peringkat tempatan, manakala peringkat dearah dan bahagian ditubuh pihak berkuasa pelbagai kaum.
Usaha ini dilihat untuk melatih kaum-kaum di Sarawak untuk memikul tugas mengurus pentadbiran mereka sendiri. Dalam cadangan Clarke ini menyarankan penubuhn sistem empat peringkat kerajaan tempatan iaitu Majlis Kumpulan Kampung, Penguasa Peribumi, Majlis Penasihat Daerah dan Majlis Penasihat Bahagian. Ujian rintis dalam hal ini telah digerakkan di kawasan kaum Bidayuh di Bau. Dalam perancangan ini penempatan kecil masyarakat tersebut akan digabungkan untuk membentuk Kumpulan Kampung yang mempunyai empat atau lima ketua kampung. Beberapa kumpulan kampung yang diwujudkan ini akan disatukan menjadi Majlis Kumpulan Kampung.
Masalah
Pengenalan kerajaan tempatan ini sesuatu yang baharu dalam kehidupan masyarakat Sarawak ketika itu. Apabila diperkenalkan kerajaan tempatan ini, ada dalam kalangan penghulu tidak memahami apa sebenarnya peranan dan fungsi kerajaan tempatan ini. Selain itu penubuhan Penguasa Peribumi ini juga tidak ekonomik. Masalah ini cuba digabungkan dengan pihak berkuasa campuran yang lebih besar. Selain itu masalah kerajaan tempatan peringkat pribumi ini adalah pendapatan. Kebanyakan pendapatan awal mereka datang daripada dana kerajaan. Badan ini juga menghadapi masalah untuk mengutip cukai. Ini kerana ada penduduk membantah pembayaran cukai seperti di Mukah dan Kanowit.
Cadangan
Dalam usaha menambah baik kerajaan tempatan di kawasan bandar, kerajaaan telah melakukan usaha menjemput pihak-pihak kerajaan tempatan yang berpengalaman dari luar Sarawak. Sehubungan dengan usaha ini, pada lewat 1947 kerajaan Sarawak telah menjemput Timbalan Presiden Majlis Perbandaran di Singapura, J. H. Hill untuk membuat tinjauan dan menasihat kepada kerajaan British tentang kerajaan tempatan yang diwujudkan di Sarawak.
Dapatan daripada Hill adalah cadangan untuk Kuching diberi status kebebasan dalam mengendalikan urusan pentadbirannya. Beliau juga mencadangkan agar perbandaran lain juga harus mempunyai darjah autonomi tertentu. Cadangan daripada Hill telah diambil perhatian oleh pihak kerajaan, dan pada 1951, usaha telah dijalankan untuk menukar Lembaga Perbandaran Kuching sebagai sebuah majlis. Dibawah Ordinan Perbandaran Kuching pada awal tahun 1953, Majlis Perbandaran Kuching (KMC) telah ditubuhkan.
Usaha memperkasakan pentadbiran kerajaan tempatan ini juga melebar ke Sibu dan Miri. Usaha mengerakkan pembaharuan ini bermula daripada cadangan pegawai daerah pada 16 Julai 1951 untuk menubuh Majlis Daerah Perbandaran Sibu (SUDC). Majlis ini mula beroperasi pada 1 Januari 1952.
Bagi Miri pula usaha telah digerakkan untuk mengambil alih peranan Sarawak Shell Oilfields Limited (SSOL) yang selama ini mengendalikan bandar tersebut. Ini kerana SSOL menjadi syarikat utama di Miri yang menguasai kehidupan sosial dan ekonomi di bandar tersebut. Oleh kerana itu ia berfungsi sebagai badan yang mengurus dan mendirikan kemudahan di bandar tersebut. Usaha telah dibuat untuk mengambil alih peranan SSOL ini oleh pihak kerajaan. Proses pengambilalihan ini memakan masa yang panjang. Hanya pada 1956, barulah Majlis Perbandaran Miri (MUDC) dapat ditubuhkan.
Pilihan raya
Menerusi Local Government Elections Ordinance, 1956 satu lagi pembaharuan telah dilakukan ke atas majlis perbandaran. Ordinan ini buat pertama kalinya memberi peluang kepada penduduk Sarawak untuk memilih calon mereka dalam majlis bandaran. KMC menjadi kerajaan tempatan pertama mengadakan pilihan raya memilih ahlinya. Pemilihan ahli KMC ini juga berdasarkan Ordinan Perbandaran (Pindaan) Kuching. Pilihan raya pertama diadakan untuk KMC adalah pada 1956. Dari Kuching pilihan raya ini juga dijalankan di Sibu pada 1957, manakala Majlis Bau juga dirancang menjalankan pilihan raya 1957.
Perkembangan majlis bandaran di Sarawak pada zaman penjajahan British ini merupakan satu kemajuan dalam pembangunan kegiatan mengurus negara di peringkat rendah. Ia juga memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjadi pentadbir di kawasan mereka diami.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).