
SANLIURFA, ANKARA (Turkiye): Sebuah periuk upacara seramik berusia hampir 900 tahun yang berasal dari Zaman Pertengahan telah ditemukan di tapak purba Harran di Wilayah Sanliurfa, Türkiye, yang merupakan antara penempatan tertua di dunia dan tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia Tentatif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa Ketua Jabatan Arkeologi Universiti Harran merangkap ketua pasukan penggalian di tapak itu, Prof Mehmet Onal, berkata kerja-kerja ekskavasi di tapak itu masih giat dijalankan.
Onal menekankan bahawa Harran sering disebut dalam buku sejarah kerana kedudukannya sebagai satu daripada penempatan yang didiami secara berterusan paling lama di dunia, dan ekskavasi tahun ini telah menjumpai penemuan penting.
Beliau berkata periuk itu, yang ditemukan semasa penggalian di kawasan Madrasah Harran, mempunyai kedalaman kira-kira 20 sentimeter, dihiasi dengan inskripsi dalam tulisan Arab di sekeliling permukaannya, dan turut memaparkan tandatangan pembuatnya.
Mengulas kepentingan sejarah setiap artifak yang ditemui di madrasah berkenaan – yang suatu ketika dahulu merupakan pusat pengajian terkemuka – Onal berkata: “Ini merupakan kali pertama bekas seramik yang lengkap sepenuhnya menggunakan teknik ‘lustreware’ atau teknik pembakaran khas ditemui dalam ekskavasi di Harran.”
“Ia dihasilkan ketika zaman kegemilangan seramik menggunakan teknik ‘lustre’ berkualiti tinggi dan dibakar sebanyak tiga kali,” katanya.
“Kami menganggarkan lapisan madrasah tempat bekas ini ditemui berasal dari Zaman Zengid dan Ayyubid, sekitar abad ke-12 Masihi – hampir 900 tahun lalu,” katanya. — Bernama-Anadolu