
BIASANYA dalam sejarah serangan komunis di Malaysia, kita biasa mendengar serangan komunis di Bukit Kepong sebagai satu kisah trajis dalam usaha pasukan keselamatan mempertahankan keselamatan negara.
Kalau dilihat kepada kejadian sama, Sarawak juga pernah mengalami masalah keselamatan yang membimbangkan. Kejadian serangan pihak musuh pada era konfrontasi salah satu yang cukup mengerikan bagi pasukan keselamatan di Sarawak.
Di ambang pembentukan Malaysia, pihak musuh pernah menyerang balai polis di Tebedu. Kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu telah mengorbankan beberapa nyawa anggota keselamatan Sarawak ketika itu.
Apabila konfrontasi masih memuncak, satu lagi kejadian serangan pihak musuh berlaku dan kali ini di Balai Polis Batu 18 Jalan Kuching Serian (ada yang menyatakan Jalan Simanggang).
Kejadian ini dikaitkan dengan tentera dari Indonesia dengan bantuan komunis Sarawak telah mengejutkan negara ketika itu. Kejadian ini berlaku pada 28 Jun 1965 dengan pihak musuh mampu menjalankan operasinya melepasi sempadan Sarawak hingga mengancam kehidupan penduduk tempatan.
Malam
Kejadian serangan ke atas balai polis ini berlaku pada waktu malam. Perancangan pihak musuh untuk menyerang balai polis itu disusun dengan baik. Pertamanya mereka telah mendapat maklumat daripada penduduk tempatan yang melarikan diri ke Indonesia.
Sebelum kejadian berlaku, mereka telah menyiram minyak di Jalan Batu 10 dan Batu 24. Usaha ini dilakukan untuk mengelak anggota keselamatan memberi bantuan dengan cepat.
Pihak yang menyerang tersebut dianggarkan seramai 30 hingga 40 orang. Mereka dilaporkan oleh pihak polis memakai uniform berwarna hijau dan berkaca mata hitam.
Senjata yang mereka gunakan adalah senjata automatik buatan Amerika Syarikat. Ada juga senjata automatik yang digunakan dari negara komunis seperti dari Rusia dan Czechoslovakia.
Serangan
Terdapat dua serangan dirancang oleh pihak dari Indonesia dan komunis ini. Pertama serangan pada jam 10 malam yang merupakan serangan mengejut menyebabkan anggota keselamatan gagal mempertahankan balai polis tersebut.
Waktu itu juga berlaku pertukaran syif anggota polis. Anggota keselamatan yang berada di balai polis tersebut juga tidak ramai. Sementara itu tindakan pihak musuh ini dilakukan dengan kemas dan rapi.
Mereka berjaya menyeludup masuk secara senyap dengan memotong pagar dawai setinggi lapan kaki di dua tempat—berukuran kira-kira 16 inci lebar dan tiga kaki tinggi—tepat di bahagian belakang berek polis kelamin. Oleh kerana potongan ini agak kecil maka mereka merangkak masuk seorang demi seorang secara senyap.

Ditembak
Mereka berjaya melakukan serangan hendap mengejut dan menguasai balai polis serta menahan beberapa orang anggota polis yang berada di tempat kejadian.
Menurut sebuah laporan akhbar, empat anggota polis telah ditangkap dan diarahkan berdiri di hadapan tembok sebelum ditembak. Tindakan kejam ini menyebabkan dua anggota polis terkorban di tempat kejadian, termasuk adik kepada Ketua Menteri Sarawak, iaitu Sarjan Simon Peter Ningkan, manakala dua orang lagi mengalami cedera parah.
Laporan akhbar tempatan mengatakan enam orang yang telah ditangkap. Dalam laporan ini menyatakan seorang anggota keselamatan telah terbunuh di tempat kejadian.
Dua lagi cedera parah. Seorang daripada anggota keselamatan ini pula cedera ringan. Dua lagi anggota keselamatan pula tidak mengalami kecederaan. Sementara tiga anggota keselamatan yang lain gagal dikesan kerana bersembunyi di berek polis.
Pihak musuh ini juga telah merampas senjata yang berada di balai polis tersebut, manakala radio milik balai polis tersebut pula telah dimusnahkan.
Setelah menguasai balai polis tersebut bagi satu tempoh masa yang agak lama, pihak Indonesia meninggalkan balai polis tersebut dengan melepaskan tembakan secara rambang ke arah berek kelamin, sehingga menyebabkan bangunan tersebut dipenuhi lubang peluru tetapi tiada kecederaan berlaku.
Dilaporkan juga mereka menembak sebutir peluncur roket (bazoka) yang mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan tersebut. Namun tidak mendatangkan sebarang kemalangan jiwa.
Kumpulan Indonesia itu kemudiannya menuju ke sebuah rumah berhampiran dan melepaskan tembakan ke atas rumah kediaman terbabit. Dalam kejadian tembakan itu, mereka telah mencederakan seorang lelaki Cina dengan parah. Kira-kira seratus ela (yard) dari kawasan kejadian pula, sekumpulan ahli keluarga telah ditembak oleh pihak musuh.
Pasukan keselamatan yang datang memberikan bantuan dengan menaiki kereta perisai tentera dan land rover polis berdepan detik sukar di Jalan Batu 10. Akibat taktik sabotaj minyak yang dicurahkan oleh pihak musuh, kedua-dua kenderaan tersebut kehilangan cengkaman lalu tergelincir keluar dari jalan raya.
Jambatan
Serangan kedua yang dilancarkan oleh mereka bertujuan untuk memusnahkan jambatan di Batu 24. Serangan ini berlaku sejam sebelum serangan ke atas balai polis tersebut dilaksanakan.
Tindakan memusnahkan jambatan ini merupakan usaha awal pihak musuh untuk melambatkan bantuan ketenteraan daripada pihak kerajaan sampai ke balai polis yang diserang.
Bagaimanapun, rancangan tersebut gagal dan mereka hanya berjaya merosakkan sebatang tiang jambatan. Dalam insiden serangan kedua ini, mereka turut membunuh tiga orang awam.
Dua yang terbunuh tersebut telah ditikam dengan pisau. Seorang lagi pula telah ditembak oleh pihak musuh. Pihak musuh ini juga cuba mengadakan sekatan jalan raya tetapi kemudian berundur ke dalam hutan apabila pasukan keselamatan tiba di kawasan kejadian.
Laporan akhbar juga menyebut bahawa kehadiran ketumbukan tentera Indonesia ini telah lama berada di kawasan Padawan, manakala pergerakan mereka pula gagal dikesan oleh pihak kerajaan.
Kalong Ningkan
Mengulangi kejadian serangan balai polis ini, Ketua Menteri Datuk Stephen Kalong Ningkan menzahir rasa marah dan sedih ke atas kejadian tersebut. Beliau menyatakan serangan itu bukan satu peperangan tetapi pembunuhan. Beliau menambah bahawa pihak yang membantu serangan ini akan diambil tindakan.
Serangan pihak musuh dengan bantuan komunis ini menunjukkan berapa gentingnya keselamatan di Sarawak ketika itu. Oleh itu, amat penting bagi generasi hari ini untuk menghargai jerih payah serta pengorbanan pasukan keselamatan dalam menjaga dan memulihkan keamanan negara sehingga kita berjaya menikmati kestabilan, kedamaian dan kemakmuran yang ada pada hari ini.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).