BANDAR PERMAISURI: Penggunaan dapur kayu api sejak lebih tiga dekad menjadi rahsia sebuah restoran makanan laut celup tepung di Kampung Pantai Rhu 10, di sini yang terus mengekalkan aroma serta cita rasa asli masakan sehingga menarik pelanggan dari dalam dan luar Terengganu.
Pengusaha restoran berkenaan Nik Yang Nik Ismail, 72, berkata walaupun memasak menggunakan dapur kayu api lebih rumit kerana api perlu sentiasa dikawal, beliau tidak pernah terfikir untuk meninggalkan cara tradisional itu kerana percaya ia menghasilkan aroma, rasa dan tekstur yang sukar ditandingi dapur gas.
“Sejak mula berniaga, saya memang menggunakan dapur kayu api dan berhasrat mengekalkannya. Walaupun suatu hari nanti saya sudah tiada atau tidak lagi mampu bekerja, saya berharap anak-anak meneruskan tradisi ini kerana selain menjadi warisan keluarga, ia memberi peluang generasi kini menikmati makanan yang dimasak menggunakan cara tradisional,” katanya kepada Bernama di Kampung Pantai Rhu 10 baru-baru ini.

Beliau berkata penggunaan dapur kayu api menghasilkan suhu yang lebih stabil sekali gus menjadikan makanan rangup di luar, lembut di dalam serta mempunyai aroma asap semula jadi yang mampu membangkitkan selera pelanggan.
Katanya, restoran itu menggunakan dapur kayu khas yang dibina lengkap dengan cerobong bagi menyalurkan asap keluar melalui bahagian atas bumbung kedai, sekali gus menjadikan ruang memasak lebih selesa.
“Banyak pelanggan tahu kami masih menggunakan dapur kayu api sebaik sahaja mereka menghidu aroma masakan. Mereka kata baunya berbeza dan itulah yang membuatkan mereka terus kembali,” katanya yang merupakan peniaga makanan laut berasaskan celup tepung terawal di Kampung Pantai Rhu 10.
Nik Yang berkata beliau mendapat bekalan kayu api daripada pembekal tempatan dengan penggunaan kira-kira dua lori sebulan bagi menampung operasi harian.

Walaupun penggunaan media sosial kini semakin meluas, Nik Yang berkata beliau tidak pernah mempromosikan restorannya secara agresif kerana percaya pelanggan merupakan ejen promosi terbaik.
Mengimbau permulaan perniagaan, beliau berkata restoran itu diasaskan bersama arwah suaminya, Mamat Chik yang meninggal dunia pada 2016 ketika berusia 68 tahun.
Nik Yang berkata beliau dan arwah suaminya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sekitar 1992 dengan menjual pisang goreng, keropok serta makanan ringan di sebuah gerai tepi jalan bagi membesarkan lima anak.
Katanya, apabila perniagaan itu kurang mendapat sambutan selepas beberapa tahun, beliau mengambil inisiatif memperkenalkan menu makanan laut celup tepung pada 2002 menggunakan resipi dan bancuhan tepung ciptaannya sendiri berdasarkan pengalaman memasak di rumah.
“Sebelum ini hidangan itu hanya dimasak untuk keluarga tetapi apabila dijual kepada pelanggan, sambutannya sangat menggalakkan. Ketika itu kawasan Pantai Penarik dan Pantai Rhu 10 masih belum mempunyai pengusaha celup tepung,” katanya.

Beliau berkata semua menu masih menggunakan resipi asal termasuk bancuhan tepung dan sos colek yang dihasilkan sendiri, manakala perbezaan setiap hidangan hanya terletak pada sukatan ramuan mengikut jenis makanan laut.
Nik Yang berkata perniagaan mula berkembang antara 2002 hingga 2004 sehingga membolehkan beliau membuka restoran yang lebih besar, selain berpeluang menunaikan ibadah haji pada 2004.
Beliau berkata operasi restoran itu dikendalikan dengan bantuan tiga anaknya serta kira-kira 10 pekerja tetap, manakala jumlah pekerja ditambah kepada sekitar 20 orang pada musim cuti sekolah.
Katanya, penggunaan udang mencecah kira-kira 60 kilogram sehari pada hari biasa dan meningkat sehingga 120 kilogram sehari pada musim cuti sekolah, bergantung kepada jumlah pelanggan. – Bernama





