FAIZAL BUJANG
TEMASYA Sukan Sarawak (SUKSA) II 2019 telah berlangsung di Miri bermula 9 hingga 14 Disember tahun lalu.
Rasinonal di sebalik penganjuran sukan dwitahunan negeri Sarawak itu yang dilihat mempunyai signifiken tersendiri.
Tidak hanya sebagai memenuhi aktiviti dalam kalender sukan di negeri ini, malah sumbangan besarnya kejohanan itu telah berupaya meningkatkan mutu sukan negeri Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, ia juga mampu menjadi perintis terbaik ke arah kecemerlangan atlet seluruh pelosok Bumi Kenyalang.
Dengan mengambil kira kemunculan atlet baharu serta berpotensi menerusi kejayaan dicipta mereka, sama ada kejayaan memperolehi tiga pingat utama termasuk keupayaan mencipta rekod baharu kejohanan.
Demikian kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg ketika berucap pada Majlis Perasmian Sukan Sarawak (SUKSAR) II Miri 2019 di Stadium Tertutup Miri.
“Rasionalnya, penganjuran Sukan Sarawak atau lebih dikenali sebagai SUKSAR merupakan satu temasya sukan peringkat negeri yang memberi sumbangan cukup besar terhadap pembangunan sukan di negeri ini.
“Bukti yang jelas, kita bukan sahaja dapat melihat kebanjiran ramai atlet baharu berpotensi yang boleh diketengah bakat mereka ke peringkat lebih tinggi, bahkan ia bagaikan perintis untuk atlet yang mengimpikan kecemerlangan sekali gus berazam mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia,” ujar beliau.
Beliau turut merujuk kejayaan beberapa atlet tersohor kelahiran Sarawak, antaranya seperti ‘ratu terjun’ Pandelela Rinong yang berjaya mencipta kejayaan di pentas dunia dalam setiap kejohanan disertainya.
Oleh yang demikian kata beliau, diharap bakat terserlah daripada atlet baharu dari seluruh pelosok negeri Sarawak yang menyertai kejohanan SUKSAR ini akan dapat terus digarapkan.
Ia sekali gus dapat menyaksikan adanya kesinambungan kecemerlangan atlet dari negeri ini dalam arena sukan di pelbagai peringkat.
Beliau turut memberi keyakinan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong penuh dan akan melabur bagi membina kemudahan sukan di seluruh negeri ini.
“Lebih banyak kemudahan atau gelanggang sukan akan dibina di setiap daerah bagi memastikan pelaksanaan atau penganjuran kejohanan dapat dilangsungkan dengan sempurna,” tambah beliau.
Temasya Suksar II Miri 2019 yang menghimpunkan seramai 1,283 orang atlet menyaksikan kelibat empat kontinjen bertanding.
Dengan Zon Utara selaku tuan rumah (Miri, Limbang dan Bintulu) mempertaruhkan jumlah atlet paling ramai iaitu 354 orang diikuti oleh Zon Tengah (Sibu, Kapit dan Mukah) seramai 329 orang.
Manakala, Zon Selatan (Kuching, Samarahan dan Serian) pula menghantar seramai 310 orang atlet sambil Zon Barat (Sarikei, Betong dan Sri Aman) menghantar seramai 290 atlet.
Kejohanan selama lima hari itu turut mempertandingkan 16 acara antaranya angkat berat, memanah, silat, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, hoki, olahraga, petanque, ragbi, renang, sepak takraw, skuasy, tinju, E-Sport.
Tamat saingan menyaksikan kejutan berlaku apabila gelaran juara berpindah milik kepada kontinjen Zon Selatan (Kuching, Samarahan & Serian).
Keseluruhannya Zon Selatan berjaya meraih 132 pingat, 55 pingat emas, 46 pingat perak dan 31 pingat gangsa.
Dengan kejayaan itu, ia mampu menidakkan keinginan juara bertahan, Zon Utara (Miri, Limbang & Bintulu) yang sekadar berpuas hati di kedudukan kedua.
Zon Uatara sekadar menggumpul 134 pingat keseluruhan, 47 pingat emas, 48 pingat perak dan 39 pingat gangsa.
Manakala kontinjen Zon Tengah (Sibu, Mukah & Kapit) menduduki tempat ketiga dengan 35 pingat emas, 37 pingat perak dan 33 pingat gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 105 pingat keseluruhan.
Tempat keempat pula milik kontinjen Zon Barat (Sarikei, Betong & Sri Aman) dengan 18 pingat emas, 24 pingat perak dan 30 pingat gangsa yang menjadikan sejumlah 72 pingat keseluruhan.
Sementara itu, dua atlet muda berpotensi iaitu Cecil Nathaniel dari Zon Utara yang memperolehi empat pingat emas dari sukan memanah diumum sebagai Olahragawan Harapan Lelaki Suksar II 2019.
Kelly Teo Yao pula yang berjaya meraih lima pingat emas dengan dua rekod baharu kejohanan selain satu pingat gangsa acara sukan renang dari Zon Selatan diumum sebagai Olahragawati Harapan Wanita Suksar II 2019.