
LAWAS: Kelestarian alam sekitar perlu terus dipelihara sejak awal demi kesejahteraan generasi dan persekitaran selamat dimasa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mahu usaha mengekang kebakaran tanah gambut diperluas melalui sikap yang bertanggungjawab dan penglibatan seluruh masyarakat.
Beliau berkata, cabaran melibatkan pemeliharaan alam sekitar paling sukar ialah kesan daripada aktiviti pembakaran belukar yang menyumbang kepada kebakaran hutan gambut secara besar.

“Kerjasama semua agensi amat diperlukan dalam menangani kebakaran gambut ini secara lebih efektif dan menyeluruh termasuk aspek pencegahan, pemantauan awal, penguatkuasaan serta tindakan segera apabila berlaku insiden,”katanya.
Teks ucapan Awang Tengah dibacakan oleh Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Rozita Kulai yang mewakili beliau ketika merasmikan program Mini Karnival Peduli-Api Peat Fire Awareness Lawas Tahun 2026 JBPM Negeri Sarawak hari ini.
Kata Awang Tengah, kebanyakan insiden kebakaran tanah gambut berpunca daripada aktiviti manusia khususnya pembakaran terbuka yang tidak ketara.
“Oleh itu adalah amat penting untuk kita semua meningkatkan kesedaran mengubah sikap serta mengamalkan kaedah yang lebih selamat dalam pengurusan tanah dan sisa pertanian.
“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya di daerah Lawas dan Bahagian Limbang amnya tanpa mengira lapisan umur agar bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara alam sekitar dengan mengalakkan sebarang bentuk pembakaran terbuka marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang bertanggungjawab demi kesejahteraan generasi yang akan datang,”ujarnya.
Awang Tengah turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM20,000 untuk JBPM menjalankan program kempen kesedaran kebakaran tanah gambut di Lawas.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Jamri Masran, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal.
Oleh Adeng Edrus