KUALA LUMPUR: Petroleum adalah kunci bagi memahami pasaran minyak sawit semalam kerana ia menentukan harga minyak sawit mentah (MSM) menerusi jalur harga dan juga merupakan petunjuk kepada keadaan ekonomi dunia, kata Pakar Perladangan Dr. James Fry daripada LMC International Ltd.
Beliau berkata, sukar bagi pasaran minyak sawit untuk optimis kerana dunia kini berada dalam keadaan kemelesetan.
“Jika Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersikap wajar, penanda aras minyak mentah Brent mungkin boleh mencecah paras US$50 setong pada akhir tahun,” katanya semasa pembentangan slaid pada Seminar Internet Minyak Sawit (Pointers) anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Malaysia Derivatives yang berlangsung dari 22 hingga 28 Jun.
Minyak mentah Brent ketika ini didagangkan pada US$42.21 setong, naik sebanyak 0.05 peratus.
Fry berkata, sekiranya minyak mentah Brent didagangkan pada US$50 setong, ini membayangkan harga MSM EU berada di bawah sedikit daripada paras US$500 setan metrik (US$1=RM4.28).
Pakar perladangan itu juga berkata, bekalan minyak sawit tidak banyak dipengaruhi oleh kawalan pergerakan dan pandemik Covid-19.
Malaysia kali pertama melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang menyaksikan operasi semua industri dalam negara terhenti.
Bagaimanapun, menyedari minyak sawit merupakan sebahagian daripada komoditi penting, industri itu diberikan pengecualian untuk beroperasi, tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Agak mengejutkan Covid-19 tidak membawa impak yang besar kepada bekalan minyak sawit. Terdapat tempoh penutupan singkat di Sabah tetapi ia telah berakhir dan tidak begitu menjejaskan pengeluaran,” katanya sambil menambah pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka tidak berubah pada 2020.
Menurutnya, stok minyak sawit dijangka meningkat di aras paras tiga juta tan metrik sejajar dengan stok minyak isirung sawit dan apabila stok meningkat, harga akan turun sedikit.
“Bagaimanapun, permintaan minyak sayuran terjejas akibat daripada Covid-19. Permintaan bahan api terjejas akibat kemelesetan dan jadi, walaupun dengan mandat biodiesel, penggunaan biodiesel terjejas.
“Permintaan makanan juga terjejas dan kita mempelajari bahawa betapa pentingnya sektor hospitaliti bagi penggunaan minyak sawit. Restoran makanan segera, kedai menjual makanan ringan, institusi hotel adalah pengguna utama minyak sawit dan pandemik itu benar-benar telah menjejaskan sektor tersebut,” katanya.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 platfom Pointers yang dilancarkan pada 2010 dengan ahli asas hanya 200.
Dalam tempoh 10 tahun lepas, ahli Pointers telah meningkat dengan ketara dan ketika ini ia mempunyai lebih daripada 5000 ahli berdaftar dari lebih 50 negara.
Platform itu terbukti menjadi instrumen efektif untuk mendekati khalayak global dengan menyediakan bukan sahaja trend harga minyak boleh dimakan utama tetapi juga untuk berkongsi perkembangan terkini dan peluang daripada rantau dunia yang berbeza.
Bagi edisi khas Pointers ini, MPOC dan Bursa Malaysia Derivatives telah mendapatkan 10 pakar bagi berkongsi pengalaman mereka mengenai kemajuan industri, prospek harga dan impak Covid-19 ke atas permintaan di pasaran utama.- Bernama