Perbahasan hangat penubuhan Malaysia, akhirnya majoriti sokong

Facebook
WhatsApp

(Bahagian Akhir)

BAHAGIAN akhir perbahasan mengenai pembentukan Malaysia di Parlimen Tanah Melayu memperlihatkan beberapa lagi pandangan dan persoalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang berhubung pelaksanaan gagasan tersebut.

Di pihak kerajaan pula mereka cuba memberi penerangan dan mempertahankan cadangan pembentukan Malaysia.

Namun pihak pembangkang cuba mempersoalkan tentang kesesuaian penubuhan Malaysia pada waktu dimana wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih lagi menjalankan tugas mereka untuk meninjau sokongan pendudukdi Sarawak dan Sabah.

Walaupun berhadapan dengan bantahan daripada pihak pembangkang, kerajaan tetap berpegang teguh pada pendiriannya untuk mengesahkan Perjanjian Malaysia.

Persoalan

Perbahasan mengenai Perjanjian Malaysia kembali mendapat perhatian hangat di Dewan Rakyat pada hari kedua persidangan, iaitu pada 13 Ogos 1963. 

Ketua People’s Progressive Party (PPP), D. R. Seenivasagam, mempertikaikan beberapa aspek dalam proses pembentukan Malaysia yang menurut pandangannya mempunyai kelemahan dan menimbulkan persoalan.

Beliau turut mengkritik kecenderungan kerajaan melabelkan pihak yang menentang pembentukan Malaysia atau mereka yang meminta penangguhan pengesahannya sebagai komunis.

Seenivasagam menegaskan bahawa beliau tidak mempertikaikan mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan untuk membawa wilayah-wilayah baharu menyertai Persekutuan.

Namun demikian, beliau menyuarakan kebimbangan bahawa mandat tersebut berpotensi disalahgunakan oleh kerajaan dalam proses merealisasikan pembentukan Malaysia.

Seenivasagam seterusnya menegaskan bahawa PPP tidak menyokong gagasan Maphilindo. Pendirian ini dikaitkan dengan kenyataan kerajaan Indonesia melalui Radio Jakarta bahawa Indonesia tidak terikat dengan hasil tinjauan yang dijalankan oleh wakil-wakil PBB.

Kenyataan tersebut menimbulkan persoalan tentang komitmen Indonesia terhadap persefahaman yang dicapai dalam Persidangan Manila. Bagi Seenivasagam, persidangan tersebut kehilangan maknanya sekiranya negara-negara yang terlibat tidak bersedia untuk menerima dan menghormati hasil tinjauan PBB berhubung kehendak rakyat di Sarawak dan Sabah terhadap pembentukan Malaysia.

Lanjutan

V. Veerappen dari Socialist Front (Seberang Selatan) melanjutkan hujah keraguan Seenivasagam tentang Malaysia ini apabila beliau menyentuh bagaimana pilihan raya dijalankan di Sarawak dan Sabah. 

Ini kerana pihak pembangkang tidak diberi peluang untuk datang ke Sarawak dan Sabah semasa pilihan raya tersebut.  Menurut beliau hanya Kerajaan Persekutuan yang dibenarkan melakukan kempen pilihan raya di sana.

Dalam menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh pihak pembangkang Ahli Perikatan Tanah Melayu iaitu Lee Sik Yew (Sepang) menyatakan bahawa tarikh penubuhan Malaysia adalah ditentukan oleh kerajaan untuk tujuan keamanan, bukannya untuk menyenangkan pemintaan Indonesia dan Filipina.

Beliau juga mengritik Socialist Front kerana dilihat seolah-olah memperjuangkan kepentingan negara lain seperti Indonesia atau China. Tindakan itu bagi beliau sebagai satu pengkhianatan yang serius.

Hal ini dibalas lagi oleh wakil Socialist Front iaitu V. David (Bangsar) yang menyatakan bahawa partinya menjaga kepentingan negara, tetapi apabila negara menghadapi krisis, perkara benar harus dilontarkan. 

Beliau mengkritik Tunku Abdul Rahman dalam Persidangan Manila bukan mahu keamanan tetapi cuba menjaga air muka beliau sahaja. Beliau menambah bahawa kerajaan membawa Tanah Melayu dalam perang dingin. Ini kerana menurut beliau tindakan Indonesia melancarkan konfrontasi masih lagi tidak dihentikan.

Kebaikan

Dalam usaha pihak pembangkang cuba menimbulkan keraguan tentang penubuhan Malaysia, pihak kerajaan meneruskan usaha meyakinkan tentang faedah penubuhan Malaysia. 

Osman Abdullah wakil Perikatan Tanah Melayu (Perlis Utara) menyatakan bahawa penubuhan Malaysia akan memberi feadah kepada penduduk di rantau ini.  Beliau menyatakan dalam persidangan di Manila, Tunku memainkan peranan penting dalam menjelaskan tentang Malaysia.

Beliau mengkritik Parti Islam Semalaya (PAS) kerana menyokong pemberontak Brunei dan menentang Malaysia. Beliau mengatakan PAS bukan sahaja menyokong Sheikh A. M. Azahari tetapi membawa kekacauan di Tanah Melayu.

Seorang lagi ahli Perikatan Tanah Melayu iaitu Ghani Ishak (Melaka Utara) menyatakan kepada Dewan Rakyat bahawa tidak perlu penundaan dilakukan kerana perjanjian tentang penubuhan Malaysia telah dicapai.

Beliau berharap bahawa penyiasatan wakil-wakil PBB akan menyiapkan kajian mereka di Borneo sesegera mungkin. Khatijah Sidik (Dungun) dari PAS menyatakan bahawa penduduk luar bandar tidak memahami kesan daripada penubuhan Malaysia dan Perjanjian Malaysia.

Diteruskan

Pada hari ketiga iaitu 14 Ogos 1963, Menteri Kewangan Tan Siew Sim pula menekankan bahawa tiada perkara boleh menghalang kehendak rakyat untuk membentuk Malaysia walaupun mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

Menurut beliau, proses pembentukan Malaysia telah dilaksanakan secara jelas dengan mengambil kira kehendak rakyat, termasuk melalui pungutan suara di Singapura dan pilihan raya yang diadakan di Sarawak dan Sabah.

Beliau berpandangan bahawa keputusan pungutan suara di Singapura serta pilihan raya di Sarawak dan Sabah telah memberikan petunjuk bahawa majoriti rakyat di ketiga-tiga wilayah tersebut cenderung menyokong pembentukan Malaysia.

Malahan jika pungutan suara pun dilakukan di Sarawak dan Sabah keputusannya tetap menyokong Malaysia.

Tunku Abdul Rahman pula menjawab pelbagai kritikan yang ditujukan kepadanya dengan menegaskan bahawa beliau tidak gentar terhadap ancaman ketenteraan.

Sebaliknya, keutamaan beliau adalah untuk memelihara keamanan serta melindungi nyawa dan harta benda rakyat.

Beliau mengatakan bahawa pilihan raya di Sarawak dan Sabah telah diadakan dan pihak pembangkang di kedua-dua wilayah tersebut bebas untuk menyuarakan pendapat mereka. 

Suruhanjaya Cobbold telah mendapati 73 peratus rakyat di kedua-dua wilayah ini telah menyokong Malaysia. Pembangkang yang mempersoalkan pilihan raya berlaku di kedua-dua wilayah ini juga dikritik oleh Tunku kerana pilihan raya itu dijalankan dengan bebas. 

Beliau turut mengimbas keadaan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dengan menegaskan bahawa ketika isu kemerdekaan menjadi perhatian utama, tidak ada pihak yang mempertikaikan atau menuduh bahawa pilihan raya yang diadakan ketika itu tidak dilaksanakan dengan betul.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa persetujuannya membenarkan wakil PBB menjalankan tinjauan dibuat semata-mata untuk menjaga air mukanya. Tegasnya, sekiranya benar demikian, beliau tidak akan sesekali bersetuju untuk menangguhkan pembentukan Malaysia.

Pengesahan

Perdebatan selama tiga hari berakhir dengan Dewan Rakyat mengesahkan perjanjian Malaysia dan menolak usul Socialist Front untuk menangguhkan pengesahan perjanjian tersebut.

Berdasarkan undiannya menunjukkan 67 ahli Dewan Rakyat menyokong mengesahkan perjanjian Malaysia, manakala 18 ahli Dewan Negara tidak menyokong usul tersebut. Dalam pengundian menyokong itu, semua menteri kabinet hadir. Seorang calon bebas iaitu Yeoh Tat Beng (Bruas) turut memberi sokongan.

Pengesahan Perjanjian Malaysia pada 14 Ogos 1963 ini satu titik penting dalam pembentukan Malaysia yang mendapat sokongan daripada Tanah Melayu. 

Perbahasan yang dilakukan juga menunjukkan amalan demokrasi dijalankan bagi memberi ruang dan peluang kepada mana-mana Ahli Parlimen menyuarakan pendapat mereka.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Perbahasan berkisar penubuhan Malaysia

(Bahagian Kedua) MINGGU lepas wacana ini telah membicarakan sebahagian daripada perbahasan tentang Malaysia di Parlimen Tanah Melayu. Wacana kali ini