SIMANGGANG: Musim perayaan merupakan landasan terbaik merapatkan hubungan silaturahim sesama sendiri agar hubungan dibina selama ini lebih erat.
Sempena Aidilfitri tahun ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis mengadakan kunjungan di kediaman ketua kaum di sekitar kawasan Kampung Muhibbah dan Taman RPR Simanggang, hari ini.
Kunjungan itu merupakan interaksi sosial diantara wakil rakyat dengan pemimpin masyarakat ketika sambutan perayaan sambil mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di kawasan untuk tujuan mengeratkan ikatan persaudaraan antara kaum.
“Kunjungan muhibbah tersebut merupakan satu kemestian ketika musim sambutan perayaan dan suasana harmoni ini harus dikekalkan dan disuburkan dengan kunjungan yang diwarisi sejak turun temurun terutama di negeri Sarawak yang dihuni pelbagai kaum.
“Kita amat bertuah dapat merayakan perayaan setiap kaum dalam suasana aman damai serta harmoni tanpa sentimen agama yang melampau.
“Ikatan umpama keluarga ini berupaya meningkatkan rasa saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, berkata seluruh rakyat Sarawak beruntung kerana kepimpinan negeri yang cemerlang disebabkan keadaan politik yang stabil di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan kabinetnya.
“Keadaan politik yang stabil memberi keyakinan para pelabur menanam modal di Sarawak.
“Kerajaan juga telah mengambil langkah tepat dengan mengambil milik agensi strategik seperti Empangan Bakun, Bintulu Port, Affin Bank, dan MasWing.
“Semua ini adalah kerja keras pemimpin Sarawak untuk kemakmuran rakyatnya dan sebahagian keuntungan dikongsikan bersama dalam bentuk bantuan serta insentif khas melalui agensi kerajaan untuk anak Sarawak seperti Pendidikan Percuma 2026,” jelasnya.
Selain itu, Harden, berkata kerajaan Sarawak turut menyalurkan bantuan kebajikan, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Insentif Wang Saku Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Anak Sarawak dalam negara, subsidi tambang kapal terbang, bantuan komputer riba dan baucar buku.
“Pulangan keuntungan ini diharap dapat membantu rakyat Sarawak memperkasa modal insan seterusnga meningkatkan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman