BINTULU: Sekitar 1,200 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ketua-ketua kaum serta masyarakat berbilang bangsa memeriahkan perarakan kebudayaan “Ngerandang Jalai Gawai Dayak” Bintulu 2025 yang berlangsung hari ini.
Perarakan yang bermula dan berakhir di Dewan Suarah Bintulu itu melibatkan laluan sepanjang tiga kilometer mengelilingi bandar Bintulu.
Ia disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi.
Menurut Majang, program ini bukan sekadar sambutan perayaan Gawai, malah menjadi platform penting untuk menyatukan masyarakat serta memupuk semangat kekitaan.
“Ia juga menanam rasa cinta terhadap warisan budaya dan tradisi pelbagai kaum di negeri ini.
“Perarakan seperti ini membuka ruang kepada masyarakat untuk bekerjasama dan berinteraksi, seiring dengan slogan ‘Sehelai Sejalai’.
“Ia tidak hanya melibatkan komuniti Dayak, bahkan turut disertai oleh etnik lain yang terdapat di Sarawak,” katanya.
Beliau menambah, Bintulu dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum seperti Iban, Bidayuh, Melanau, Melayu, Kayan, Kenyah dan lain-lain yang kesemuanya menyumbang kepada kekayaan warisan budaya, nilai dan adat di bandar ini.
“Perarakan kebudayaan ‘Ngerandang Jalai’ atau dikenali juga sebagai ‘Niti Daun’ merupakan salah satu tradisi yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Dayak, serta menarik minat dan sokongan daripada kaum-kaum lain.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja menghidupkan semangat Gawai, tetapi turut meraikan nilai kebersamaan, perpaduan dan toleransi yang menjadi asas kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, selain menampilkan keindahan pakaian tradisional berwarna-warni dari pelbagai suku kaum, program ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan berasaskan seni dan budaya.
“Saya berharap Bintulu dapat diketengahkan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik, menjadi pilihan pelancong untuk mengenali lebih dekat keindahan warisan kita.
“Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada usahawan tempatan, pengusaha inap desa, industri kraftangan dan lain-lain untuk menjana pendapatan lebih baik, khususnya sepanjang musim perayaan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling