MASJID Darulhana Patingan (MDHP), Kampung No.6 di sini, mengadakan Perarakan Bertakbir Siri 3 Sempena Hari Raya Aidiladha 2022 di pekarangan masjid berkenaan, baru-baru ini.
Pengerusi MDHP, Zamhari Hashim berkata, perarakan itu bukan satu pesta sebaliknya memberi kesedaran kepada masyarakat Islam betapa penting pengorbanan dalam kehidupan harian.
Katanya, masyarakat harus mencontohi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan isteri, Hajar dan anaknya, Nabi Ismail A.S dan pengorbanan itu harus dipraktikkan oleh masyarakat hari ini.
“Oleh itu, kita harus mengenang dan mencontohi pengorbanan itu,” katanya ketika ditemui media semasa Perarakan Bertakbir 3.0 Sempena Hari Raya Aidiladha 2022 di pekarangan Masjid Darulhana Patingan, Kampung No.6 di sini.
Perarakan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok, Hilmy Othman mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, pengerusi penganjur perarakan MDHP, Abdul Malik Mustapha, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abd Samad Gany, Ketua Ranting Parti PBB Kampung No.6, Abdul Rahman Adenan serta ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan penduduk kampung termasuk golongan belia.
Zamhari menjelaskan, perarakan itu disertai kira-kira 720 peserta daripada penduduk kampung, masjid, surau berhampiran dan organisasi lain seperti Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) serta exco Parti PBB Satok.
Antara kampung terbabit ialah Kampung Muda Hashim Masjid Al-Hakim, Kampung No.5 Surau Nurul Islam, Kampung No.2 Surau Bandarsah, Kampung No.3 Surau Darul Uyuun dan Kampung Temedak Surau Darul Qarar.
“Perarakan bertakbir pada tahun ini merupakan kali ketiga diadakan selepas 2018 dan 2019. Ia bertujuan mengimarahkan aktiviti masjid selain mengukuhkan ikatan silaturahim antara penduduk kampung, masjid dan surau.
“Perarakan ini mungkin dijadikan aktiviti tahunan sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Menurutnya, memandangkan negara sedang menuju peralihan fasa endemik Covid-19, majlis itu diadakan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Perarakan itu bermula dari pekarangan MDHP menyaksikan peserta berarak sejauh 3.6 kilometer (km) mengelilingi kampung-kampung berhampiran seperti Jalan Laruh, Jalan Muda Hashim, Jalan Mataim, Jalan Datuk Ajibah Abol dan berakhir di MDHP.
Program anjuran MDHP itu mendapat kerjasama daripada pihak Polis, Bomba, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), KOSPEN, RELA dan komuniti kampung.
Lebih menarik, perarakan disertai kanak-kanak berusia antara setahun hingga lima tahun dan warga emas.
Peserta berarak sambil bertakbir membawa sepanduk yang dihiasi lampu LED bagi mewakili kontinjen (kampung) masing-masing. Majlis berakhir dengan cabutan nombor bertuah dan turut diadakan persembahan nasyid serta penyampaian sijil kepada kontinjen.
Sementara itu, Abdul Malik Mustapha berkata, laungan takbir perlu dijadikan budaya masyarakat Islam yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Ia perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat kita hari ini kerana amalan bertakbir itu sangat mulia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi MDHP, Mohamad Bedari Junaidi menzahirkan terima kasih kepada semua pihak terutama AJK perarakan MDHP dan penduduk kampung yang memberi kerjasama melancarkan majlis tersebut.