KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 0.6 peratus kepada 32,944 tan pada Oktober 2023 daripada 32,757 tan pada September 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi perbandingan tahun ke tahun pengeluaran getah asli meningkat 3.6 peratus daripada 31,795 tan pada Oktober 2022.
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2023 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (84.2 peratus) berbanding sektor estet (15.8 peratus).
“Jumlah stok getah asli pada Oktober 2023 menurun 0.4 peratus kepada 152,396 tan berbanding 153,011 tan pada September 2023.
“Kilang pemproses getah pula menyumbang stok akhir sebanyak 88.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata eksport getah asli Malaysia menurun 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 56,460 tan berbanding 57,028 tan pada September 2023.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 58.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2023 diikuti Jerman (8.5 peratus), Iran (3.5 peratus), Portugal (2.0 peratus) dan Türkiye (1.8 peratus).
“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.
“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.0 bilion pada Oktober 2023, menurun 2.0 peratus berbanding RM1.02 bilion pada September 2023,” katanya.
Menurut DOSM, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 10.6 peratus kepada 532.20 sen sekilogram pada Oktober 2023 daripada 481.08 sen sekilogram pada September 2023, manakala sekerap meningkat 4.4 peratus kepada 548.84 sen sekilogram pada Oktober 2023 daripada 525.59 sen sekilogram pada bulan sebelum itu.
Ia berkata harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (SMR) pula meningkat antara 3.2 peratus hingga 10.5 peratus.
The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 2.1 peratus kepada USD1.45 sekilogram daripada USD1.42 sekilogram, dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 3.4 peratus kepada USD1.61 sekilogram daripada USD1.55 sekilogram.
Menurut laporan Malaysia Rubber Board Digest pada Oktober 2023, pasaran getah Kuala Lumpur secara amnya, bercampur-campur dengan harga SMR 20 dan lateks pekat bergerak dalam momentum meningkat disokong oleh pasaran asas yang menggalakkan terutama kekurangan bekalan getah disebabkan cuaca lembab di kebanyakan negara pengeluar getah. – Bernama