PEMAIN Perancis diketuai Kylian Mbappé meraikan kemenangan 1-0 ke atas Paraguay pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Philadelphia. Foto AFP
PHILADELPHIA: Perancis membuktikan mereka bukan sekadar pasukan yang menghiburkan, malah sanggup bermain lebih keras apabila menewaskan Paraguay 1-0 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.
Skuad kendalian Didier Deschamps sebelum ini memukau dengan aksi menyerang apabila meledak 13 gol dalam empat perlawanan, namun kali ini terpaksa bekerja lebih keras berdepan permainan fizikal Paraguay.
Jaringan penalti Kylian Mbappé pada minit ke-70 sudah memadai untuk memastikan kemenangan dalam aksi yang berlangsung dalam cuaca panas mencecah 38 darjah Celsius.
Mbappe menegaskan Perancis tidak gentar jika dipaksa bermain secara lebih agresif.
“Kalau perlu bermain kasar dan berjuang habis-habisan, kami tiada masalah. Kami sanggup lakukan apa saja untuk menang,” katanya.
Rakan sepasukan, Rayan Cherki, turut menyifatkan kemenangan itu membuktikan Perancis bukan hanya bergantung kepada corak permainan cantik.
“Kalau ada yang mahu berperang dengan kami, kini mereka tahu apa yang bakal dihadapi,” katanya.
Sementara itu, Bradley Barcola mengakui belum pernah berdepan perlawanan sekeras itu selepas kerap dikasari pemain Paraguay.

Perancis kini menang semua lima perlawanan di Piala Dunia dengan Mbappe berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama Lionel Messi menerusi tujuh gol.
Selain jentera serangan yang berbisa, benteng diketuai William Saliba, Dayot Upamecano dan penjaga gol Mike Maignan turut hanya melepaskan dua gol sepanjang kejohanan.
Bagaimanapun, cabaran sebenar menanti apabila Perancis bakal bertemu Maghribi pada aksi suku akhir.
Perlawanan itu mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2022 yang dimenangi Perancis 2-0, dengan Maghribi kini diperkuat pemain kelahiran Perancis, Ayyoub Bouaddi.
Deschamps pula terus mengukuhkan rekod sebagai jurulatih paling banyak mencatat kemenangan di Piala Dunia dengan 19 kemenangan dan kini memburu penampilan keempat berturut-turut Perancis di separuh akhir. – AFP