PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti akan memperkasakan peranan Mediator Komuniti (MK) sebagai ejen membantu pihak yang bertelagah untuk bekerjasama mencari penyelesaian secara damai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak secara sukarela.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata MK ini berperanan menguruskan konflik kecil seperti isu berkaitan kejiranan, hubungan kekeluargaan, harta pusaka, keagamaan, alam sekitar, kontrak dan perjanjian dalam kalangan masyarakat secara baik sebelum melibatkan pihak berkuasa.
Katanya, pendekatan MK di Sarawak adalah berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia kerana budaya dan adat yang berbeza, oleh itu, peranan MK di Sarawak perlu ditambah baik.
“Mungkin di Sarawak kita boleh tambah baik, kerana (peranan) MK di Sarawak dan Semenanjung ini lain sedikit, jadi eloklah kita perkenalkan(MK) melalui jerayawara kecil-kecilan tetapi ia melibatkan setiap bahagian dan seberapa banyak komuniti yang boleh, supaya bolehlah kita kenalkan kepada masyarakat apa peranan dan bidang kuasa MK ini.
“Ini adalah bagi memastikan agar masyarakat boleh memahami dengan jelas apa itu MK, bidang kuasa mereka, tanggungjawab mereka dan lain-lain tugasan.
“Saya melihat MK juga memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan bahawa dalam komuniti itu, apa sahaja (masalah) selesai, apa sahaja isu yang timbul, tidak kiralah kecil atau besar, bagi kita yang kecil itu juga penting, sebab yang kecil itu kalau tidak diselesaikan lama-lama boleh menjadi api yang besar, merebak dan boleh mengakibatkan kesan yang merugikan.
“Kita di Sarawak ini, kerajaan kita sangat menitikberatkan tentang perpaduan keharmonian dan kesejahteraan dibawah kementerian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus MK bersama agensi (Hari Terbuka MK) di Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah turut mencadangkan agar MK melibatkan orang muda untuk menyertai entiti berkenaan bagi memberi keselesaan kepada remaja lain untuk berkongsi masalah.
“Kita tahu bahawa remaja lebih selesa berkongsi masalah sesama mereka. Jadi, kita harap ini dapat diusahakan kerana ia selari dengan inisiatif mesra anak-anak demi mewujudkan bandar mesra anak-anak,” jelasnya.
Menurut Fatimah, seramai 33 daripada 58 MK didapati aktif dan mempunyai kemahiran serta profesionalisme yang diperlukan untuk menguruskan hal berkaitan.
“Kita memuji usaha yang dilakukan oleh entiti ini dan apa yang kita lihat, MK di Samarahan berjaya menyelesaikan empat kes berkaitan kemalangan, kecurian, hutang dan pengasuhan anak-anak.
“Jadi, saya mahu menekankan kepada MK agar membuat dokumentasi terhadap kes yang dikendalikan agar sekiranya kes terpaksa dibawa ke peringkat undang-undang melibatkan polis dan sebagainya, dokumen semua sudah tersedia. Ini penting,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT