KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencipta sejarah dengan menggabungkan dua pasukan elitnya, iaitu Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dan Operasi Taktikal Khas dan Menyelamat Malaysia (STORM), menjadi satu pasukan iaitu STORM.
Ketua Pengarah JBPM, Dato Nor Hisham Mohammad berkata, penggabungan ini merupakan langkah besar bagi meningkatkan keupayaan pasukan dalam menangani situasi bencana di seluruh negara.
“Sebelum ini, kita ada dua pasukan elit. Pasukan MUST beroperasi di bawah unit udara, manakala STORM memberi tumpuan kepada operasi bencana di kawasan bandar seperti runtuhan tanah dan bangunan.
“Namun, selepas kita mengkaji keupayaan kedua-dua pasukan ini, kita ambil keputusan untuk menggabungkan mereka bagi memaksimumkan kepakaran.
“Penggabungan ini membolehkan anggota MUST dilatih untuk beroperasi dalam situasi bencana bandar yang memerlukan kepakaran STORM, manakala anggota STORM pula akan didedahkan kepada operasi udara dan pencarian di kawasan hutan, yang merupakan bidang kepakaran MUST sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pentauliahan MUST ke STORM 2024 di Ibu Pejabat JBPM Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nor Hisham turut menjelaskan bahawa inisiatif penggabungan ini dimulakan di Sarawak pada 2017 dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negara.
“Hari ini, kita mentauliahkan 23 lagi anggota MUST sebagai anggota STORM dan Sarawak akan memiliki 60 orang anggota STORM.
“Sasaran kita adalah untuk mentauliahkan keseluruhan anggota MUST dan STORM sehingga mencapai 620 anggota STORM menjelang November ini.
“Insya-Allah, kita akan mempunyai seramai 1,101 anggota STORM di seluruh negara,” katanya.
Nor Hisham berkata, anggota STORM akan ditempatkan di balai bomba seluruh negara untuk operasi harian, namun mereka akan dipanggil bagi misi yang memerlukan tahap kepakaran dan taktik yang lebih tinggi.
“Mereka ada masa respons dalam tempoh satu jam untuk berkumpul di tempat pertemuan sebelum digerakkan ke lokasi insiden.
“Sebagai contoh, sebelum ini pasukan STORM berjaya digerakkan dalam operasi besar seperti menyelamatkan mangsa helikopter terhempas di Sebuyau, dan misi antarabangsa ke Turkiye bagi operasi menyelamat di bawah naungan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Pada masa sama, Nor Hisham turut menyatakan bahawa JBPM menubuhkan Pasukan Khas Unit Udara (PASKUP) untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh MUST dalam unit udara.
Pasukan ini akan ditempatkan di Subang, Miri, dan Bertam, dengan fokus utama pada operasi berkaitan pesawat.
Oleh Mohd Neenatul Aizal