
KUALA LUMPUR: Peranan kewartawanan sebagai kepercayaan awam bukan sahaja kekal relevan tetapi semakin penting di tengah-tengah landskap media yang kian berkembang pesat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Beliau berkata peranan utama kewartawanan adalah untuk memaklumkan, memberi penjelasan dan menyampaikan maklumat selain menyediakan kepada masyarakat pengetahuan yang diperlukan bagi membuat keputusan wajar, memastikan institusi bertanggungjawab dan menjadi saluran untuk menyuarakan isu-isu terpinggir.
Fungsi-fungsi teras ini, tegasnya, tidak dibawa arus oleh perubahan masa; sebaliknya, ia menjadi semakin penting.
“Dalam konteks ini, tanggungjawab yang dipikul oleh wartawan dan organisasi media sangat besar. Pelaporan perlu dilakukan dengan berdisplin, melaporkan yang tepat dan benar dan memastikan integriti dalam sesuatu pertimbangan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di Forum Media HAWANA 2026, di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Nur-ul Afida, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, berkata kerjaya kewartawanan juga perlu menunjukkan kesediaan untuk berkembang dengan menerima pakai kemahiran, teknologi dan pendekatan baharu dalam berinteraksi bersama khalayak, tanpa melupakan tujuan asasnya.
Turut sama penting, katanya, adalah kerjasama yang lebih erat dalam industri, kerana cabaran yang dihadapi tidak terhad kepada mana-mana organisasi sahaja.
“Ia merupakan cabaran bersama, dan memerlukan tindakan secara bersama-sama melalui dialog, perkongsian dan komitmen untuk meningkatkan piawaian,” katanya.

Berkenaan Forum Media HAWANA, Nur-ul Afida berkata buat pertama kalinya dalam tempoh enam tahun, program ini diadakan pada tarikh berasingan daripada sambutan kemuncak Hari HAWANA, dengan sepanjang hari dikhaskan untuk perbincangan dan bukannya format separuh hari seperti edisi sebelumnya.
“Ini membolehkan perbincangan yang lebih mendalam dan pertukaran idea yang lebih bermakna, dan kami berharap semua peserta akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada platform yang diperluaskan ini,” katanya.
Beliau berkata industri media hari ini berada di persimpangan kritikal, baik di peringkat global mahupun di Malaysia, ketika organisasi media mengharungi persekitaran yang kompleks dan sukar.
“Sumber penjanaan pendapatan menyusut, tingkah laku khalayak berubah dengan pantas dan tuntutan terhadap laporan segera semakin meningkat, yang kadangkala terpaksa mengabaikan proses mengesahkan kebenaran, ketepatan atau kesahihan (berita).
“Pada masa yang sama, kepercayaan orang ramai, yang boleh dikatakan sebagai ‘mata wang’ paling berharga dalam dunia kewartawanan, sedang berdepan cabaran besar yang belum pernah berlaku sebelum ini. Realiti inilah yang menjadi dasar kepada forum hari ini,” katanya.
Forum Media HAWANA 2026 diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada 20 Jun.
Program ini menghimpunkan lebih 200 tetamu jemputan, terdiri daripada ketua organisasi media, termasuk dari Sabah dan Sarawak, wakil agensi media asing di Malaysia, ahli akademik, pengamal perhubungan awam, serta pelajar dari universiti awam dan swasta. – Bernama