
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia untuk menangguhkan akses media sosial bagi mereka yang berusia 16 tahun ke bawah pada separuh kedua tahun ini merupakan asas membina dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di Internet dan langkah ini berkesan apabila digandingkan dengan peranan keibubapaan yang aktif.
Pakar berpendapat bahawa walaupun pengurusan akses digital kanak-kanak melalui penapis dan had masa skrin adalah penting, langkah itu juga membuka peluang yang baik untuk keluarga mengeratkan hubungan melalui pengalaman digital bersama.
Pendekatan ini menggalakkan peralihan daripada menggunakan peranti sebagai “pengasuh digital” kepada peranan yang lebih bermakna, dengan ibu bapa secara aktif membimbing anak-anak mereka, mengajar mereka untuk melayari dunia dalam talian dengan daya tahan dan keyakinan.
Pakar Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata kawalan ibu bapa sahaja tidak mencukupi kerana perlindungan berkesan memerlukan gabungan sekatan teknikal dan pengawasan yang kukuh.
Beliau berkata daripada perspektif psikologi, kanak-kanak secara semula jadi membentuk persepsi, sama ada positif atau negatif, berdasarkan pengalaman dalam talian mereka, dan untuk membentuk persepsi ini secara positif, ibu bapa perlu membimbing dan mendidik mereka dengan aktif.
Beliau berkata selepas fasa pembelajaran, peringkat seterusnya yang penting ialah membina keperibadian kanak-kanak bagi memastikan mereka membesar menjadi individu yang seimbang dan boleh menyesuaikan diri.
“Pada masa yang sama, motivasi juga amat penting. Ibu bapa perlu memupuk dan membimbing motivasi anak supaya selari dengan matlamat peribadi dan keluarga,” katanya.
Mohamed Fadzil berkata media sosial telah berkembang daripada sekadar pilihan kepada komponen penting dalam persekitaran pembelajaran moden, dengan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, X, dan WhatsApp menjadi sumber maklumat dan pendedahan yang penting.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendedahan tersebut perlu diawasi kerana ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta membantu mereka membezakan kandungan yang bermanfaat daripada potensi bahaya.
Amira Azman, 47, ibu kepada dua anak, berkongsi pandangan sama dengan menyatakan walaupun peraturan menyediakan jaringan keselamatan yang diperlukan, tanggungjawab moral dan undang-undang terhadap tingkah laku dalam talian anak-anak terletak pada tangan ibu bapa.
Beliau mengakui bahawa perubahan landskap perundangan telah meningkatkan kebimbangan ibu bapa kerana penjaga kini boleh dipertanggungjawabkan atas tingkah laku anak-anak mereka ketika dalam talian.
Bagaimanapun, Amira berkata pemantauan berterusan tidak begitu realistik kerana anak-anak yang cerdik teknologi sering kali “tiga langkah ke hadapan”, menyebabkan ibu bapa perlu beralih daripada sekadar memantau kepada membimbing secara aktif.
“Penapis boleh menyekat laman web, tetapi tidak boleh mengajar anak bagaimana untuk berdepan dengan pemangsa yang menggunakan bahasa biasa. Ada ketika apabila anak saya terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai, saya segera menanganinya dengan serius dan berbincang serta melaraskan tetapan,” katanya.
Amira berkata sukar untuk mengikuti perkembangan pesat media sosial apabila platform baharu sering muncul sebelum iba bapa sempat menguasai platform sedia ada, selain tekanan daripada rakan sebaya untuk kanak-kanak kekal berhubung sepanjang masa.
“Ketika saya baru memahami satu aplikasi, mereka telah bergerak ke platform baharu yang saya belum pernah dengar. Terdapat juga tekanan daripada rakan untuk mereka sentiasa berada dalam talian 24 jam sehari,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pentingnya ekosistem perlindungan yang lebih luas, walaupun ibu bapa ialah pelindung utama, penyedia media sosial dan sekolah juga harus memainkan peranan mereka, berbanding membiarkan ibu bapa berdepan dengan cabaran Internet bersendirian. – Bernama