
LAWAS: Acara Perahu Naga Terbuka Lawas 2025 yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas merupakan satu inisiatif julung kali diadakan dengan kerjasama masyarakat Cina Lawas melalui pelbagai pertubuhan yang bergabung di bawah satu badan induk.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata acara yang berasaskan penyatuan pelbagai kaum dan budaya ini akan terus memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini.
“Ia adalah satu pentas yang mempamerkan semangat kekitaan, kesungguhan dan kecintaan kita terhadap warisan budaya yang berbagai.
“Kita amat berbangga kerana Lawas hari ini menjadi lokasi penyatuan berbagai kumpulan ethnik di daerah kita ini dan dalam acara ini ia juga disertai daripada rakan-rakan kita daripada negara Brunei Darussalam, daripada Sabah, Labuan. Ini akan merapatka lagi hubungan kita dengan jiran-jiran kita, ” katanya pada perasmian Perahu Naga Terbuka Lawas 2025 di Tebingan Sungai Lawas petang tadi.

Katanya, acara tersebut menjadi pemangkin kepada sukan air dan pemerkasaan budaya kaum Cina di kawasan Teluk Brunei.
Tambahnya, inisiatif ini wajar dijadikan sebagai identiti kekal yang mencerminkan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum, agama, dan budaya yang menjadi teras kepada perpaduan di Sarawak.
Seramai lebih lima ratus pekayuh dan pasukan kebudayaan Cina daripada Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei, Limbang dan Lawas berkampung di Bandar Lawas sejak 23 Mei sehingga acara berakhir pada malam 25 Mei 2025.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Haji Jawa, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pengarah NRDA Datu Ubaidillah Latip dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus