
SYDNEY: Penyelidik di Australia membangunkan model jantung robotik yang mampu meniru fungsi jantung manusia berpenyakit, sekali gus menyediakan platform baharu untuk mengkaji penyakit jantung dan menguji peranti perubatan, lapor Xinhua.
Model sintetik sepenuhnya itu mampu meniru pergerakan kompleks serta struktur dalaman jantung manusia, sekali gus membuka peluang kepada pembangunan rawatan yang lebih berkesan, peranti perubatan yang lebih selamat serta rawatan yang disesuaikan mengikut keperluan pesakit, menurut kenyataan Universiti New South Wales (UNSW) Australia pada Rabu.
Penyelidikan itu menghasilkan model degupan jantung bahagian kiri, termasuk injap tiruan, otot papilari dan “chordae tendineae” iaitu struktur penting yang menyokong fungsi normal jantung dan sering terjejas akibat penyakit.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal “Nature Communications” dan “Advanced Science”, peranti itu menggunakan otot tiruan robotik yang lembut serta membran silikon bagi meniru pergerakan semula jadi jantung ketika mengepam darah.
Kajian itu turut menunjukkan peranti berkenaan mampu meniru keadaan jantung sebenar apabila injap jantung mengalami kebocoran sehingga menyebabkan aliran darah berpatah balik, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan jantung serta komplikasi lain yang mengancam nyawa.
Dengan menggunakan pengimejan ultrasound serta pengukuran tekanan dan aliran darah, para penyelidik mendapati jantung tiruan itu berfungsi dengan cara yang hampir menyamai jantung manusia.
Pasukan penyelidik berkata model itu berpotensi meningkatkan pemahaman mengenai penyakit jantung, mengurangkan keperluan ujian terhadap haiwan serta membantu doktor menghasilkan model khusus pesakit bagi merancang prosedur rawatan.- Bernama-Xinhua