TINDAKAN Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Sarawak dan syarikat minyak dan gasnya, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), melegakan banyak pihak terutama pelabur gas asli cecair (LNG).
Ini kerana sebarang pertikaian di mahkamah boleh menjejaskan pelaburan antarabangsa. Pembeli utama LNG Malaysia seperti Jepun dan Korea Selatan, baru-baru ini dikatakan menuntut jaminan kestabilan bekalan tenaga. Jika isu ini melarat hingga ke mahkamah, ia boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan tenaga dari Malaysia. Ketidakstabilan dalam pasaran tenaga ini boleh menggugat reputasi negara sebagai pengeksport LNG yang dipercayai.
Kelmarin, diadakan mesyuarat antara kerajaan Sarawak, Petronas dan Petros, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya. Mesyuarat itu dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Datuk Janin Girie dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki.
Selepas mesyuarat itu, Pejabat Premier Sarawak mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa Petronas tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak dan Petros. “Semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan negeri berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak, serta Petronas dan Petros telah mengesahkan bahawa perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak kini sedang berjalan antara mereka dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Sebelum ini, Abang Johari memberi jaminan bahawa kontrak jangka panjang berkaitan LNG dengan rakan niaga Korea Selatan dan Jepun juga tidak akan terjejas walaupun Petros agregator gas tunggal di Sarawak. “Tiada apa yang berlaku. Anda juga harus sedia maklum bahawa kerajaan Sarawak mempunyai ekuiti dalam LNG dan kerana kami ada kepentingan dalam LNG, saya tidak rasa kami mahu menjejaskannya,” katanya.
Difahamkan bahawa Sarawak beberapa tahun lalu, menerima dividen terkumpul lebih daripada RM20 bilion menerusi pelaburannya dalam projek-projek LNG.
PENYELESAIAN SECARA BAIK
Apa pun, langkah Petronas untuk tidak mengambil tindakan undang-undang itu dilihat memilih untuk menyelesaikan isu gas ini melalui ‘penyelesaian korporat’. Setakat ini tidak nampak lagi penggunaan saluran politik antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan. Perkara ini mungkin digunakan seandainya ‘penyelesaian korporat’ gagal menangani isu ini. Ini bermakna, kedua-dua pihak Petronas dan Petros @ kerajaan Sarawak mahu penyelesaian secara baik, sekali gus menguntungkan dari segi ekonomi dan pada masa sama, mengelak berlaku kesan ‘geo politik Malaysia’ merentasi Laut China Selatan.
Sebelum ini pernah berlaku pertikaian antara Petronas dan kerajaan Sarawak. Pada 2019, kerajaan Sarawak memfailkan saman selepas Petronas gagal membayar Cukai Jualan Negeri (SST) lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkusakan di negeri ini.
“Kerajaan negeri tiada pilihan lain kecuali memulakan tindakan undang-undang terhadap Petronas untuk menuntut cukai yang belum dibayar,” kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, kini Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) dalam satu kenyataan pada November 2019, sekali gus menggemparkan seluruh negara.
Ini berikutan tindakan Sarawak mengenakan cukai jualan pada kadar lima peratus ke atas produk petroleum yang dieksport mulai 1 Januari 2019 sebagai sumber hasil baharu untuk menyokong agenda pembangunan negeri. Ia dilevikan terhadap minyak mentah, gas asli, gas asli cecair (LNG), produk baja berasaskan kimia dan produk daripada proses penukaran gas kepada cecair. Ketika itu, Petronas tidak mahu membayar cukai jualan produk petroleum yang ditetapkan mengikut Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, tetapi dua syarikat petroleum asing yang beroperasi di Sarawak iaitu Shell dan Murphy Oil dilaporkan patuh untuk membayar cukai jualan yang dimaksudkan.
Petronas mempersoalkan isu ini tetapi ditolak oleh mahkamah selepas permohonan semakan penghakiman. Hakim Mahkamah Tingggi di Kuching telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri dan kerajaan Sarawak berhak menggubal Ordinan Cukai Jualan Negeri berdasarkan Perlembagaan Malaysia serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2020, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip SST bagi produk petroleum. Akhirnya pada 8 Ogos 2020, Petronas dan tujuh anak syarikatnya membayar SST bagi produk petroleum sebanyak RM2,956,671,407.36 kepada kerajaan negeri Sarawak untuk sepanjang 2019 dan sejak itu, Petronas terus membayar SST setiap tahun. Terima kasih Petronas.
Pada 2022, Sarawak mengutip hasil cukai itu sebanyak RM8 bilion dan dijangka akan terus meningkat pada 2023 dan 2024. Kini, hasil Sarawak dijangka terus bertambah dan kali ini menerusi sektor gas berikutan langkah menjadikan Petros sebagai agregator gas tunggal di Sarawak yang sebelum ini dikawal selia oleh Petronas.
PETRONAS, PETROS KEKAL RAKAN KONGSI
Pada Mei lalu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengumumkan bahawa Petros akan mengambil alih 100 peratus operasi pengagihan gas bermula 1 Julai. Bagaimanapun, Petronas meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas dan kerajaan Sarawak membenarkan penangguhan itu sehingga 1 Okober ini kepada Petronas untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan Petros.
Tidak pasti lagi apa penyelesaian dicapai antara Petronas dan Petros pada mesyuarat yang turut dihadiri Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya Selasa lalu dam mungkin rundingan diteruskan. Baru-baru ini RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya menjangkakan Petronas akan kehilangan sebahagian daripada hasil kerana tidak menjadi agregator gas tunggal di Sarawak.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya kekal menjadi rakan strategik Sarawak dengan peruntukan pelaburan yang besarnya kepada pembangunan negeri ini.
Beliau berkata syarikat minyak dan gas negara itu akan sentiasa bertindak mengikut kepentingan negara dan tidak boleh terlibat dalam rundingan tanpa mempertimbangkan implikasi yang lebih luas kepada negara.
“Kami mahu Sarawak berkembang. Kami mahu membantu Sarawak merealisasikan cita-citanya. Namun, dalam situasi semasa, saya fikir kedua-dua pihak perlu untuk memahami kekangan yang dihadapi masing-masing. Kami mahu terus menjadi rakan (strategik) Sarawak dan saya tahu ada di antara anda yang telah mempersoalkan ke mana hala tuju rundingan tersebut. Kami mahu membina kerjasama yang saling menguntungkan. Kami mahu saling membantu berkembang berdasarkan pemahaman terhadap kekuatan masing-masing, tetapi yang paling penting, kekangan yang dihadapi. Petronas mempunyai peranan bukan sahaja sebagai syarikat tetapi juga berkhidmat untuk negara,” kata Tengku Muhammad Taufik.
Nada itu turut disuarakan oleh Abang Johari ketika berada di Singapura baru-baru ini, dengan menyatakan bahawa tiada sebarang isu antara Sarawak dengan Petronas. “Petros akan bekerjasama dengan Petronas dalam pembangunan aktiviti huluan dan hiliran. Tiada sebarang isu antara kami dengan Petronas,” katanya.
Apa yang diharapkan ialah Sarawak terus menuai hasil sumber aslinya secara ‘halal’ berdasarkan kerangka undang-undang negeri dan persekutuan. Ketegasan Sarawak menuntut hak, bukan merampas hak orang lain, bagi mengembalikan janji seperti termaktub dalam MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.