
MAKKAH: Pihak Berkuasa Am Penjagaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Arab Saudi mengumumkan penyempurnaan penyelenggaraan rutin Kaabah dan Hijr Ismail, selaras piawaian kejuruteraan dan teknikal tertinggi, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Menurut badan itu, projek tersebut dijalankan di bawah pelan operasi yang rumit yang memastikan aliran jemaah lancar tanpa menjejaskan ibadah.
Kerja-kerja berkenaan mengambil masa kira-kira 4,700 jam kerja dan termasuk 31 pakej utama serta 305 aktiviti, meliputi penyelenggaraan bahagian dalam Kaabah, bumbung dan persekitaran, serta pemeriksaan dan ujian terperinci.
Skop kerja juga termasuk penggantian lebih 30 meter linear sendi pengembangan (silikon) di sekeliling Kaabah, penurapan (grouting) semula lebih 50 meter sambungan marmar, serta menggilap dan kemasan lantai marmar sekeliling dari semua arah.
Projek itu dilaksanakan oleh kakitangan negara yang berkelayakan menggunakan teknologi dan bahan termaju yang mematuhi piawaian antarabangsa, meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan kemampanan jangka panjang komponen Kaabah.- Bernama-SPA