MANHATTAN BEACH, Amerika Syarikat: Di California, gelombang haba berulang menyebabkan penduduk Amerika Syarikat (AS) berpusu-pusu ke pantai untuk mendapatkan kelegaan daripada cuaca panas, namun semakin ramai perenang berdepan keadaan berbahaya apabila ombak kuat melanda pesisir pantai dan mencetuskan arus deras.
Hujung minggu lalu, penyelamat pantai di Daerah Los Angeles menjalankan sebanyak 1,950 operasi menyelamat di laut, angka yang disifatkan ketua penyelamat pantai, Pono Barnes, sebagai “amat mengejutkan”.
“Sebagai gambaran, hujung minggu musim panas yang sibuk biasanya mencatat sekitar 300 operasi menyelamat, manakala 500 adalah jumlah tertinggi,” kata Barnes kepada AFP di Manhattan Beach.
Sejak awal Julai, California berdepan siri gelombang haba terik dengan suhu meningkat antara 86 hingga 95 darjah Fahrenheit (30 hingga 35 darjah Celsius), malah lebih tinggi di kawasan pedalaman.

Walaupun suhu itu mungkin tidak mencatat rekod baharu, keadaan panas menjadi luar biasa lembap akibat gelombang haba marin yang berlarutan selama beberapa bulan di Lautan Pasifik, sekali gus menjejaskan keselesaan penduduk.
Bagi sebahagian besar penduduk, penyelesaiannya adalah dengan berkunjung ke pantai untuk berenang di laut, namun keadaan ketika ini tidak begitu mengizinkan.
Alun tropika yang terhasil daripada taufan Elida, Fausto dan Genevieve di luar pantai Mexico telah melanda kawasan pesisir selama dua minggu.
Di beberapa pantai, ketinggian ombak mencecah enam kaki (1.8 meter). Keadaan itu menjadi tarikan kepada peluncur ombak, namun boleh bertukar menjadi ancaman kepada perenang kurang berpengalaman yang terperangkap dalam arus deras.
Sangat Sibuk
Sabtu lalu, Maximus Oberto berkata beliau sendiri menjalankan 30 operasi menyelamat di laut.
“Saya perlu katakan, ia mungkin hari paling sibuk sepanjang kerjaya saya,” kata Oberto kepada AFP. “Keadaannya sangat sibuk.”
“Ia hampir berterusan dari matahari terbit hingga terbenam,” kata penyelamat pantai itu sambil mengenakan seluar merah yang terkenal menerusi siri televisyen Baywatch.

“Dari segi fizikal, ia sangat mencabar. Saya agak keletihan, tetapi saya teruskan usaha.”
Pada hujung minggu ini, kubah haba baharu dijangka menyebabkan jutaan penduduk di kawasan barat AS berdepan cuaca panas melampau, dari Utah dan Arizona hingga Nevada serta California.
Dengan ombak besar diramalkan berterusan sehingga malam Sabtu, penyelamat pantai menjangkakan satu lagi hujung minggu yang sibuk dan berisiko.
Bagaimanapun, mereka tidak akan menghalang orang ramai daripada turun ke laut.
“Datanglah ke pantai. Inilah identiti Los Angeles,” kata Barnes.
“Namun apabila datang, utamakan keselamatan. Berenanglah berhampiran menara penyelamat yang dibuka, berhubung dengan penyelamat untuk mengetahui keadaan laut semasa serta sebarang bahaya di kawasan berkenaan.”
Amaran Kebakaran
Selepas beberapa minggu berdepan suhu panas melampau, gelombang haba hujung minggu ini turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan pertambahan kejadian kebakaran hutan.
Gabenor California, Gavin Newsom, berkata pada Jumaat bahawa anggota bomba telah ditempatkan lebih awal di beberapa daerah di tengah dan selatan California sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya menjangkakan peningkatan ketara dalam aktiviti kebakaran di California,” kata Daniel Swain, saintis iklim yang mengkaji cuaca ekstrem di Universiti California, Los Angeles, kepada AFP.
“Sepanjang gelombang haba ini, kita akan menyaksikan landskap yang jauh lebih mudah terbakar di kawasan utara Sierra (Nevada), pergunungan utara serta kawasan pergunungan di selatan California.”
Sekiranya kebimbangan itu menjadi kenyataan, keadaan tersebut akan memburukkan lagi situasi yang sudah membimbangkan di kawasan barat AS.
Ribuan anggota bomba dikerahkan bagi menangani lebih 40 kebakaran besar di Washington dan Oregon.
Keadaan paling kritikal berlaku di Oregon, yang dijangka mencatat musim kebakaran terburuk dalam sejarahnya.
Kebakaran yang sering berpunca daripada panahan kilat itu telah memusnahkan kira-kira satu juta ekar (405,000 hektar) kawasan dalam tempoh dua minggu lalu, selain memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka di kawasan luar bandar.
Setakat ini, tiada bandar utama terancam akibat kebakaran hutan di AS dan insiden berkenaan kurang mendapat liputan berbanding kebakaran besar yang berlaku di Perancis serta Sepanyol.
Namun, di Rezab Orang Asli Warm Springs di Oregon, enam rumah musnah akibat kebakaran minggu ini, dan keadaan itu disifatkan sebagai satu bencana sebenar oleh pegawai kanan Edward Henderson.
“Kami sememangnya kekurangan rumah, jadi setiap rumah yang musnah merupakan satu kehilangan besar,” kata Henderson, setiausaha bendahari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Suku Warm Springs, kepada rangkaian tempatan KOIN.
“Sebahagian rumah ini menempatkan beberapa generasi penghuni… melibatkan keluarga, anak-anak dan cucu-cucu.” – AFP




