
KOTA SAMARAHAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan mengumumkan penutupan sementara separuh jalan di Jalan Kuching Outer Ring (Q13-3A.4) dari KM0+000 hingga KM1+100 bermula 24 April hingga 30 April 2025.
Menurut JKR, penutupan tersebut dilakukan bagi memberi laluan kepada kerja penurapan semula jalan (pavement resurfacing) yang melibatkan laluan utama antara arah ke Kota Samarahan/Kuching dan arah ke Siburan.
“Lokasi kerja dijangka melibatkan kawasan berhampiran Super Sport Arena Samarahan dan beberapa premis perniagaan termasuk MR. DIY serta MD Worlds Sdn Bhd.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan dan mematuhi papan tanda amaran yang disediakan.
“Beberapa papan tanda amaran serta pengawal trafik (flagman) akan diletakkan di lokasi bagi melancarkan aliran trafik,” katanya dalam satu notis yang dikeluarkan, hari ini.
JKR turut menyatakan bahawa sebarang pertanyaan berkaitan aliran trafik boleh dikemukakan kepada Pejabat JKR Bahagian Samarahan di talian 082-672860 pada waktu pejabat.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi had laju serta arahan keselamatan sepanjang tempoh penutupan jalan tersebut,” jelasnya.
Oleh Masrin Affirah