
KUCHING: Beberapa jalan utama di sekitar Padang Merdeka akan ditutup secara berperingkat bermula 27 Ogos hingga 8 September depan bagi memberi laluan kepada persiapan serta pelaksanaan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 2025.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan jalan itu membabitkan susur Jalan Tun Abang Haji Openg menghala ke Jalan McDougall serta Jalan McDougall menuju ke Padang Merdeka.

“Penutupan bermula pada 27 Ogos 10.00 pagi sehingga 8 September 5.00 petang bagi proses persiapan tempat dan pemasangan khemah di pentas utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan berkenaan serta dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dengan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900,” ujarnya.
Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak dijadualkan berlangsung pada 6 September bermula 6.30 pagi di Padang Merdeka, Kuching.