SARATOK: Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Simpang Kaki Wong, Krian dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.59 pagi.
“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, didapati berlakunya kemalangan melibatkan sebuah motorsikal dan lori sawit.
“Seorang mangsa penunggang motorsikal berada di belakang lori dalam keadaan tidak sedarkan diri, manakala pemandu lori sawit tiada di lokasi semasa kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Rais berkata pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata pihak polis memaklumkan tiada butiran pengenalan diri pada mangsa.
“Anggota bomba selepas itu terus melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di jalan raya,” katanya.
Gambar
Anggota bomba di lokasi kemalangan.