LUNDU: Seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya di KM40 Jalan Telok Melano-Sematan, kawasan Belinsak, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang dari arah Telok Melano menuju ke Sematan dipercayai cuba memotong sekumpulan penunggang motosikal yang bergerak dalam arah sama.
“Semasa memotong, motosikal mangsa bertembung dengan dua motosikal yang datang dari arah bertentangan. Mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sudirman berkata bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan di Hospital Umum Sarawak.
Katanya, dua lagi penunggang motosikal berusia 21 dan 18 tahun turut mengalami kecederaan parah.
“Penunggang berusia 21 tahun mengalami kecederaan putus kaki kiri dan dirawat di Hospital Umum Sarawak, manakala penunggang berusia 18 tahun mengalami patah kaki kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Lundu,” katanya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sudirman menasihatkan penunggang motosikal, khususnya yang menyertai aktiviti konvoi, supaya sentiasa menunggang secara berhemah serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kemalangan maut daripada terus berlaku.




