
KUCHING: Penubuhan unit khusus Diversity, Equality, Equity (DEE) menjadi bukti jelas komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam memberikan pengiktirafan tertinggi terhadap hak, kepelbagaian dan kesaksamaan golongan wanita di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, unit tersebut ditubuhkan bagi memperkasa agenda pembangunan wanita serta institusi keluarga Sarawak secara lebih inklusif dan saksama.
“Kita amat beruntung kerana kepimpinan kerajaan negeri hari ini memberikan penekanan yang amat tinggi kepada konsep kepelbagaian, kesaksamaan, dan ekuiti (DEE). Langkah ini adalah satu penghormatan besar kepada semua wanita di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan KPWKS di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Dato Sri Fatimah turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan atas dedikasi serta kepimpinan beliau yang menjadi contoh terbaik dalam memacu agenda DEE.
“Beliau (Datu Felicia) seorang yang sangat komited dan sentiasa memastikan kumpulan fokus di bawah kementerian ini sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan sosial masyarakat kita,” jelasnya.
Selain itu, majlis turut memberi penghormatan kepada bekas Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Salma Jobli yang telah bersara, atas sumbangan besar beliau dalam memperkasakan kedudukan wanita di Bumi Kenyalang sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Oleh Shikin Mahmud