KUCHING: Peniaga Pasar Minggu di Medan Niaga Satok di sini menzahirkan rasa lega apabila dibenarkan mula berniaga bermula Sabtu lalu.
Tinjauan Utusan Sarawak di pasar terbabit semalam mendapati orang ramai mula berkunjung ke Pasar Minggu apabila dibenarkan mula berniaga Sabtu lalu.
Seorang peniaga, Andrus Ajas, 49, yang menyambut baik langkah pihak berkuasa tempatan membuka semula pasar itu berkata, ia akan membuka peluang untuk mereka mencari rezeki seperti sedia kala.
Andrus memberitahu, duduk terlalu lama di rumah memang membosankan, justeru berjaja di Pasar Minggu selain boleh mencari rezeki juga mampu menghilang perasaan bosan.
Menurutnya, sungguhpun sebagai percubaan namum setelah dua hari berjaja di situ pendapatan masih boleh untuk menampung perbelanjaan mingguan sebab sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) duduk di rumah sahaja tak ada pendapatan.
“Sekarang belum ramai orang yang datang lagi sebab ada yang belum tahu lagi. Minggu depan mungkin ramai orang yang datang,” katanya.
Andrus berharap semoga pasar minggu ini boleh dibuka setiap minggu, jangan ditutup lagi.
Bagi Mariayana Ruab, 47, yang juga seorang peniaga di pasar itu berkata, meskipun sabtu lalu dan semalam tidak ramai berkunjung namun menzahirkan rasa syukur kerana mampu memperoleh sedikit pendapatan dan meramalkan Ahad depan lebih ramai orang akan berkunjung ke pasar itu.
Mariayana cuma membawa sedikit sahaja barangan untuk dijual dan tidak mahu membawa banyak barangan buat sementara waktu sebab ia baharu dibuka dan mungkin Ahad depan akan membawa lebih banyak barangan untuk dijual.
“Peniaga lain juga tidak membawa banyak barangan untuk dijual. Kalau barangan habis dijual awal, mereka pun balik awal sebab membawa sikit barang sahaja,” katanya.