

KUALA LUMPUR: Rawatan paliatif masih sangat asing dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pakar menyatakan hampir 90 peratus daripada ahli masyarakat tidak tahu ataupun memahami fungsi rawatan itu.
Pada masa sama, ada juga beranggapan rawatan paliatif hanya untuk mereka yang sedang “menunggu masa”, iaitu satu salah tanggapan dan perlu ditangani segera, kata pakar.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan paliatif ialah satu pendekatan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga, yang berdepan dengan cabaran menjaga penghidap penyakit mengehadkan hayat, sekali gus meletakkan perkhidmatan itu sebagai satu hak asasi manusia.
Di Malaysia, pada masa ini hanya terdapat 34 pakar paliatif, dan menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada 50 orang dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menampung keperluan.
SIAPA YANG MEMERLUKAN DAN BILA?
Menjelaskan dengan lebih lanjut tentang penjagaan paliatif, Pakar Perubatan Paliatif di KPJ Specialist Ampang Puteri, Dr Liew Kean Yew berkata rawatan itu merupakan satu pendekatan khusus perubatan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup pesakit, terutamanya dalam mengurangkan kesakitan yang dialami.
Bertentangan dengan kefahaman umum, beliau berkata penjagaan paliatif tidak terhad pada penghidap kanser, sebaliknya untuk semua pesakit yang mengalami masalah kesihatan serius dan kronik termasuk isu jantung, buah pinggang dan kegagalan hati.
“Ada yang beranggapan paliatif ialah rawatan peringkat akhir, tetapi, sebenarnya rawatan ini seeloknya bermula apabila si pesakit, misalnya penghidap kanser, menjalani rawatan untuk penyakitnya. Dalam konteks ini, penjagaan paliatif dan rawatan perubatan onkologi boleh dijalani secara serentak oleh si pesakit.
“Pesakit yang akan menjalani pembedahan atau rawatan kemoterapi atau radiologi, dia sebaik-baiknya disyorkan agar turut mendapatkan penjagaan paliatif bagi mengurangkan kesakitan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
Malah, tegas beliau, sebaik-baiknya pesakit menerima penjagaan paliatif selepas menerima diagnosis walaupun penyakit di tahap satu.
“Bagi pesakit kanser, jangan tunggu sudah di peringkat akhir seperti tahap empat baru hendak menjalani rawatan paliatif,” nasihat beliau.

JENIS PENJAGAAN
Mengulas lanjut, Dr Liew berkata amalan penjagaan paliatif di negara ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu penjagaan di hospital iaitu pesakit yang dimasukkan ke hospital boleh menjalani rawatan paliatif sekiranya dirujuk kepada pakar paliatif, dan kedua penjagaan paliatif di rumah yang dikenali sebagai hospis.
“Di Malaysia konsep hospis sedikit berbeza berbanding negara lain. Hospis merujuk penjagaan paliatif yang dijalankan di rumah pesakit dengan lawatan berkala. Doktor dan jururawat akan datang ke rumah pesakit untuk memberikan rawatan, dan perkhidmatan ini biasanya dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai hospis,” katanya.
(Maklumat lanjut berkenaan dengan hospis di Malaysia boleh didapati di www.malaysianhospicecouncil.com).
Beliau juga menjelaskan penjagaan paliatif tidak hanya memfokuskan pada pengurangan kesakitan tetapi membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan memberi tumpuan kepada empat domain, iaitu fizikal, psikologi, kerohanian dan sosial.
“Untuk fizikal, rawatan diberikan bagi mengawal simptom seperti kesakitan dan sesak nafas, sama ada melalui ubat-ubatan atau kaedah bukan ubatan. Bagi psikologi pula, pesakit yang menghidap penyakit serius sering mengalami kebimbangan, kemurungan dan tekanan emosi. Maka pasukan paliatif membantu menangani isu ini melalui sokongan dan rawatan psikologi.
“Manakala aspek spiritual merujuk perkara yang memberi makna dan tujuan hidup kepada pesakit. Ia tidak semestinya berkaitan dengan agama tetapi lebih kepada nilai dan kepercayaan individu. Domain sosial pula merupakan penjagaan melibatkan sokongan kepada keluarga. Penyakit serius bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit tetapi juga kepada ahli keluarga,” katanya.
Mengulas lebih lanjut dari segi pengurusan kesakitan pesakit, Dr Liew berkata pakar menggunakan pendekatan “pain ladder” atau tahap kesakitan dengan tahap satu, iaitu kesakitan ringan, diberikan ubat-ubatan biasa seperti paracetamol.
“Tahap dua adalah kesakitan sederhana, iaitu jika kesakitan semakin meningkat ubat yang lebih kuat seperti tramadol boleh diberikan kepada pesakit, manakala tahap tiga, iaitu kesakitan sangat teruk, pesakit mungkin memerlukan ubat yang lebih kuat seperti morfin,” jelasnya.
PERANCANGAN PENJAGAAN LANJUTAN (ACP)
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan telah merangka garis panduan Perancangan Penjagaan Lanjutan atau Advance Care Planning (ACP) bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Advance Care Planning ialah satu proses perbualan atau dokumentasi yang membolehkan pesakit menyatakan bagaimana mereka ingin dirawat pada masa depan, terutamanya apabila mereka tidak lagi sedar atau tidak mampu menyuarakan hasrat sendiri.
“Perbualan ini perlu dilakukan bersama-sama dengan petugas kesihatan dan juga ahli keluarga atau insan tersayang. Dalam hal ini, pakar penjagaan paliatif berperanan membantu pesakit menjalani proses ACP supaya hasrat mereka dihormati dan dapat dilaksanakan apabila tiba waktunya,” katanya.
Beliau yang turut terlibat dalam penggubalan itu, berkata garis panduan tersebut amat penting bagi memastikan maruah dan hak pesakit terbela.
“Setiap individu mempunyai hak untuk menentukan bagaimana mereka ingin dijaga dan dirawat. Itu adalah hak asasi setiap manusia dan kerana itulah program ini penting.
“Kedua, apabila pesakit menyatakan hasrat dan pilihan rawatan mereka lebih awal, ia dapat mengurangkan tekanan dan beban emosi kepada ahli keluarga apabila berdepan situasi penyakit serius pada masa depan,” katanya.
Berkongsi kes kendaliannya, Dr Liew berkata beliau pernah menerima seorang pesakit wanita berusia 48 tahun yang menghidap kanser pundi hempedu.
“Sebelum itu, dia menerima rawatan di sebuah hospital onkologi termasuk menjalani kemoterapi. Malangnya keadaan pesakit tidak menunjukkan perkembangan positif, malah kanser tersebut semakin merebak dan dia menjadi semakin lemah.
“Pesakit ini kemudian datang ke hospital (tempat saya bertugas) dalam keadaan menanggung kesakitan yang amat kuat sebelum dirujuk kepada saya. Dalam beberapa bulan terakhir kehidupannya saya membantu menguruskan kesakitan kanser dihidapinya dengan memberikan ubat-ubatan yang diperlukan,” kata beliau.
Pada masa sama, Dr Liew turut membantu menyelaras beberapa hasrat akhir pesakit dengan satu daripadanya ialah melihat anak lelaki sulungnya mendirikan rumah tangga.
Menyedari betapa pentingnya perkara itu kepada pesakit, beliau bekerjasama rapat dengan keluarga wanita berkenaan untuk merealisasikan hasratnya.
“Hasil kerjasama itu, anaknya berjaya mengatur majlis pertunangan yang dapat disaksikan dengan penuh rasa gembira oleh pesakit. Dia meninggal dunia tidak lama kemudian,” kongsinya, menambah wanita itu berada dalam penjagaan paliatif selama dua bulan sebelum meninggal.
“Ini antara perkara yang biasa kami lakukan dalam penjagaan paliatif,” tambahnya.
HANYA UNTUK PESAKIT TENAT?
Sementara itu, memperinci lanjut, Pakar Perunding Paliatif Pusat Perubatan Sunway Velocity Kuala Lumpur Dr Eunice Leong Yoke Yeng berkata umumnya, penjagaan paliatif bertujuan memberi keselesaan kepada pesakit, khususnya apabila rawatan kuratif, atau rawatan untuk menyembuhkan, tidak lagi sesuai ataupun berkesan.
Oleh sebab itulah katanya masyarakat sering menganggap perkhidmatan penjagaan paliatif hanya untuk pesakit yang sudah tenat atau di penghujung nyawa.
Jelasnya, salah tanggapan itu berpunca daripada situasi apabila pesakit hanya dirujuk kepada penjagaan paliatif apabila dia sudah tidak ada lagi peluang untuk pulih dan hanya menunggu ajal.
Hakikatnya, tegas pakar itu, penjagaan paliatif bukan hanya tentang menunggu ajal, tetapi bertujuan meringankan beban yang ditanggung pesakit dan keluarganya, kerana dalam kebanyakan situasi, apabila seseorang menghidap penyakit yang mengehadkan hayat, seluruh keluarga juga turut “jatuh sakit”.
“Kita sering melihat berita tentang keletihan melampau dalam kalangan penjaga semasa mereka menjaga orang tersayang. Contohnya, menjaga pesakit yang terlantar akibat dimensia atau kanser tahap akhir memerlukan komitmen tinggi sehingga memerlukan lebih daripada seorang penjaga untuk menguruskan pesakit siang dan malam.
“Jika ahli keluarga sendiri yang menjadi penjaga, ia satu cabaran besar untuk melakukannya selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Ia merupakan cabaran fizikal dan psikologi, malah ada ahli keluarga yang terpaksa berhenti kerja untuk menjadi penjaga sepenuh masa. Kekurangan pengetahuan dan kemahiran untuk menjaga insan tersayang di rumah serta kebimbangan tentang apa yang perlu dilakukan jika berlaku kecemasan adalah kerisauan yang nyata bagi pihak keluarga,” katanya.
Justeru, Dr Leong berkata atas faktor itu penjagaan paliatif berfungsi untuk menyokong kedua-dua pihak, iaitu pesakit dan keluarga yang berdepan dengan penyakit mengehadkan hayat terutama di fasa akhir, termasuk memberi pengetahuan dan kemahiran penjagaan asas kepada keluarga.
Beliau juga berkata salah faham tentang penjagaan paliatif juga menyebabkan pesakit yang memerlukan tidak menerima penjagaan paliatif seperti yang sepatutnya.
Justeru, salah faham itu perlu diperbetulkan dan ditangani dengan segera, katanya.
KEKURANGAN PAKAR PALIATIF
Dalam konteks penyakit kanser khususnya, Malaysia merekodkan sekitar 40,000 pesakit baharu saban tahun, namun angka itu dijangka meningkat lebih sekali ganda kepada 100,000 menjelang 2040, menurut Global Cancer Observatory.
Situasi itu menunjukkan keperluan mendesak sektor penjagaan paliatif di negara ini yang masih kekurangan tenaga pakar.
Mengulas perkara itu, Dr Leong berkata kesedaran dan minat terhadap keperluan penjagaan paliatif amat dituntut dalam kalangan petugas kesihatan.
Namun katanya, pada masa ini minat dalam kalangan warga penjagaan kesihatan itu sendiri rendah kerana mereka perlu menjalani latihan yang menuntut komitmen tinggi dan ketahanan mental, iaitu aspek yang amat penting dalam penjagaan paliatif.
Pun begitu, beliau berkata minat dalam kalangan doktor pakar kian meningkat.
“Dalam keadaan bilangan pakar paliatif masih kurang, permintaan dan keperluan terhadap penjagaan paliatif semakin meningkat di Malaysia memandangkan kita sedang bergerak ke arah status negara tua. Pastinya jumlah pakar perubatan paliatif yang ada buat masa ini tidak mampu menampung keperluan tersebut,” katanya.
Bagi mendepani keperluan yang semakin meningkat dalam sistem kesihatan, Dr Leong menggesa agar satu penyelesaian sistemik dilaksanakan melalui pendekatan latihan berstruktur dengan melatih doktor yang mempunyai pengetahuan asas penjagaan paliatif.
“Ini bagi memastikan setiap individu yang memerlukan penjagaan paliatif asas seperti pengurusan kesakitan dapat mencapai akses kepada perkhidmatan tersebut. Buat masa ini, pendedahan terhadap penjagaan paliatif dalam program perubatan prasiswazah dan pascasiswazah adalah sangat terhad, menyebabkan tahap kesedaran mengenai bidang ini masih rendah.
“Peningkatan kesedaran boleh dilakukan melalui pendidikan perubatan dengan mengintegrasikan modul penjagaan paliatif ke dalam kurikulum perubatan bagi meningkatkan kesedaran serta kompetensi para doktor untuk menyediakan penjagaan paliatif asas apabila mereka menjadi doktor pakar kelak,” saran beliau, dan menambah akses kepada penjagaan paliatif sering terhalang disebabkan oleh bilangan pakar paliatif yang terhad.
Beliau berpandangan dengan adanya struktur latihan penjagaan paliatif, doktor daripada pelbagai kepakaran perubatan mampu menyediakan penjagaan paliatif asas dalam bidang kepakaran masing-masing selain pengurusan kesakitan kanser asas di hospital dapat ditingkatkan.
“Bagi memperluas akses komuniti kepada perkhidmatan ini, penjagaan paliatif domisiliari (di rumah) yang melibatkan pakar perubatan keluarga adalah langkah penting di masa depan. Mereka merupakan pihak berkepentingan yang kritikal dalam meningkatkan akses penjagaan paliatif kepada masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Menitipkan nasihat buat mereka yang sedang diuji dengan penyakit mengehadkan hayat, pakar itu menegaskan penjagaan paliatif bukan tentang menunggu kematian tetapi mengenai bagaimana pesakit menjalani kehidupan yang diinginkan sehinggalah “waktu” itu tiba secara semula jadi.
“Rawatan ini bukan tentang menambah bilangan hari dalam baki usia, tetapi menambah ‘makna’ dan ‘kehidupan’ pada hari-hari yang berbaki itu. You matter because you are you, you matter to the end of life (Anda amat berharga kerana diri anda adalah anda, dan anda kekal berharga hingga akhir hayat anda),” katanya memetik Dame Cicely Saunder, pengasas hospis moden. – Bernama