
KOTA KINABALU: Penilaian psikiatri terhadap ibu kepada Zara Qairina Mahathir penting untuk lebih memahami corak komunikasi, kasih sayang dan keibubapaan antara ibu dan anak, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Pakar perunding psikiatri, Dr Wong Haw Huo berkata, tanpa penilaian terhadap ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, maklumat penting mengenai hubungan mereka serta sokongan yang diberikan kepada remaja itu, mungkin terlepas pandang.
“Pada pendapat profesional saya, jika seorang doktor tidak menilai ibu Zara Qairina, banyak maklumat penting tidak dapat diperoleh iaitu berkaitan bagaimana mereka berkomunikasi, sama ada wujud hubungan kasih sayang antara ibu dan anak,” katanya semasa prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Dr Wong berkata, penilaian itu juga penting untuk memahami sama ada Noraidah mampu memberikan nasihat dan sokongan yang sepatutnya ketika Zara Qairina berdepan cabaran di sekolah atau di rumah.
“Dan, tanpa menilai ibu bapa, ia akan menimbulkan risiko bias yang lebih besar kerana kita tahu dalam dunia ini, setiap orang mempunyai cara keibubapaan yang berbeza,” katanya.
Dr Wong menjawab soalan daripada peguam Shahlan Jufri, yang mewakili Noraidah.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak dan remaja masih dalam proses perkembangan fizikal dan mental, dan oleh itu mereka memerlukan seseorang yang mereka boleh bergantung sepenuhnya, sama ada bapa, ibu atau kedua-duanya.
Merujuk kepada penilaian psikiatrinya terhadap Noraidah, Dr Wong menyifatkan wanita itu pada awalnya tenang dan cuba mengekalkan perwatakan yang tegas walaupun selepas kehilangan anaknya.
Beliau berkata, Noraidah bercerita tentang kesukaran zaman kanak-kanaknya, dan bagaimana perlu meneruskan kehidupan, sekali gus membantu pihaknya memahami cara keibubapaan serta hubungannya dengan Zara Qairina.
Dr Wong berkata, pengalaman lampau itu mempengaruhi cara Noraidah membimbing Zara Qairina, termasuk memberikan nasihat berbentuk motivasi dan panduan supaya anaknya menjadi lebih kuat serta mampu berdikari.
Dr Wong berkata, emosi Noraidah berubah sebaik diajukan pertanyaan mengenai Zara Qairina.
“Sehingga saat akhir apabila kami mahu mengakhiri temu bual, ibu Zara menangis buat kali pertama. Dia terus memohon maaf kepada saya, berkata, ‘Maaf doktor, saya tidak sepatutnya menangis.’ Kerana dia rindukan anaknya,” katanya.
Beliau berkata, reaksi Noraidah menunjukkan bahawa wanita itu sudah sekian lama memendam emosinya sebagai cara untuk mengharungi kesukaran.
Ketika ditanya oleh Shahlan sama ada Noraidah menyayangi Zara Qairina, Dr Wong berkata, temu bual bersama Noraidah dan bukti lain termasuk klip audio, video, hiasan rumah dan dokumen bertulis menunjukkan adanya kepedulian, penglibatan dan bimbingan berstruktur antara ibu dan anak.
Beliau berkata, hubungan itu juga mencerminkan kepercayaan, apabila kedua-duanya kerap berkomunikasi, ketawa bersama dan berkongsi kisah kehidupan seharian mereka.
Dr Wong berkata, Zara Qairina dan Noraidah dilihat mengamalkan sikap yang berpandukan kepercayaan serta berkongsi nilai yang berteraskan ketabahan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar 4.00 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Prosiding inkues bersambung pada 13 Julai. – Bernama