BACHOK: Pengusaha kolam memancing ikan yang turut menutup operasi mereka sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas kini membuat persiapan untuk membuka kembali operasi mereka.
Pemilik Kolam Jati Solution, Rusli Hamat, 51, berkata kawasan kolam pancingnya yang berusia 11 tahun itu telah mula dibersihkan setelah tidak terurus sejak PKP dan fasa-fasa selepas PKP dilaksana sejak hampir empat bulan lalu.
“Kami menutup kolam memancing ini selepas pelaksanaan PKP bagi mengekang pandemik Covid -19 dan kini ramai kaki pancing tidak sabar apabila tempat riadah ini boleh beroperasi seperti sediakala.
“Saya melakukan persiapan awal dengan membersihkan kawasan sekitar kolam ikan seluas 1.2 hektar sambil dibantu tujuh anak, isteri dan beberapa pekerja,” katanya yang ditemui di Kampung Kolam di sini, semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengumumkan beberapa sektor akan dibuka secara berperingkat termasuk operasi kolam pancing.
Rusli berkata sejak kolam memancing ditutup, kebanyakan kaki pancing tidak sabar untuk meneruskan aktiviti riadah ini yang peminatnya bukan sahaja dari Kelantan malah ada juga yang datang dari Singapura dan Thailand.
Menurut beliau, antara persiapan yang dilakukannya ialah memotong rumput serta menyusun meja dan kerusi di kedai makan yang terletak di perkarangan kolam miliknya.
“Semasa pelaksanaan PKP, ramai kaki pancing bertanyakan mengenai pembukaan kolam ini kerana mereka sudah biasa dengan penganjuran pertandingan yang dianggarkan lebih 2,000 pengunjung dengan adanya spesies ikan seperti tilapia, keli, rohu dan patin.
“Selalunya mereka yang tinggal jauh seperti di Gua Musang, Terengganu dan Thailand akan memasang khemah dan bermalam bersama keluarga sehari sebelum hari pertandingan,” katanya.
Rusli berkata memandangkan pada masa ini rakyat mengamalkan suasana normal baharu, pihaknya sangat menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengehadkan penyertaan dan akan mengamalkan penjarakan sosial.
“Sebelum PKP dilaksanakan, secara purata 60 pengunjung sehari datang beriadah di kolam memancing, namun disebabkan normal baharu kami akan hadkan kepada 30 orang sahaja,” katanya. — Bernama