
KUCHING sebagai ibu negeri Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan awam berada pada tahap yang baik melalui pengurusan kebersihan dan kawalan penyakit yang sistematik.
Seiring dengan perkembangan bandar dan peningkatan populasi, isu kebersihan menjadi semakin kritikal kerana ia berkait rapat dengan penularan penyakit berjangkit seperti denggi, leptospirosis dan jangkitan bawaan air.
Untuk menjamin kesejahteraan kehidupan di Kuching, kerajaan Brooke melakukan pelbagai usaha untuk mewujudkan persekitaran sihat.
Penduduk tempatan juga didedahkan dengan perkembangan kehidupan moden dalam pelbagai segi yang membantu menjaga kesihatan dan kebersihan di kediaman mereka.
Tandas
Antara pembaharuan yang dilakukan adalah pengenalan tandas moden. Hal ini boleh dikesan pada 1930 dengan membina 72 unit tandas moden di Bahagian Barat Kuching.
Tambahan daripada itu dilakukan kerja-kerja penggalian parit sepanjang 64 kaki sebagai sebahagian usaha penambahbaikan sanitasi. Satu lawatan ke kampung dilakukan secara berkala untuk memantau aktiviti harian penduduk kampung.
Ketika itu terdapat 48 rumah baharu dibina, dan jumlah keseluruhan rumah yang ada adalah 782. Usaha ini dibuat untuk mengelak merebaknya penyakit berjangkit seperti taun dan malaria.

Tambahan daripada itu, usaha diperkasakan lagi dengan membuat vaksinasi ke atas 273 kanak-kanak. Sampah sarap pula dibuang di satu kawasan yang dikhaskan di bahagian barat.
Semua sampah sarap tersebut disembur dengan pembasmi kuman sebelum ditimbus dengan tanah.
Dua bangunan sekolah baharu yang dibina iaitu Sekolah Melayu Perempuan dan Sekolah Merpati Jepang pula telah dilengkapkan dengan tandas moden.
Tandas moden di Sekolah Perempuan telah siap sepenuhnya pada 27 Jun 1930. Di Sekolah Merpati Jepang pula tandas moden dan empat unit urinal telah dibina oleh Jabatan Kesihatan, dan siap masing-masingnya pada 23 dan 31 Ogos 1930.
Lawatan
Di bahagian timur Kuching pula beberapa bangunan telah dilawati dan diperiksa seperti dua sekolah, dua kawasan mencuci dobi, kilang getah, kilang kayu, enam kilang sago, kilang pemprosesan jelutong, kedai dobi, rumah tumpangan dan kilang pemprosesan belacan.
Usaha juga digerakkan untuk melengkapkan rumah-rumah di Kampung Melayu dengan kemudahan kebersihan moden seperti di Kampung Lumba dengan tandas bersih.
Untuk mencegah nyamuk bertelur dan membiak, sebanyak 132 tandas telah diletakkan minyak campuran diesel (solar oil) yang dilakukan setiap minggu.
Sebanyak 1,280 gelen minyak campuran diesel ini telah digunakan dalam kerja-kerja meletakkan minyak tersebut. Dalam konteks ini, tangki kumbahan bawah tanah (tangki septik) yang dibina pada 1929 didapati mengalami kerosakan serius.
Tangki kumbahan itu juga memperlihatkan kelemahan dari segi reka bentuk asal. Oleh itu sebuah tangki kumbahan baharu telah dicadangkan untuk mengantikan tangki kumbahan lama.
Salah satu lagi kemajuan dicapai dalam usaha mewujudkan suasana yang sihat di Kuching adalah memperkenalkan dua insinerator jenis meldrum untuk proses pelupusan sampah. Mesin telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan pada 19 Jun 1929.
Pembasmian
Kerja-kerja pembasmian penyakit malaria juga menjadi agenda penting di Kuching ketika itu. Dalam usaha membasmi penyakit tersebut dilakukan kerja-kerja pembersihan sepanjang 12,780 kaki parit tanah, manakala 7,800 kaki parit telah digredkan dan diperdalamkan serta 15,450 kaki parit baharu telah dibuat.
Sebanyak 18 telaga telah ditutup dan 2,840 gelen minyak anti-malaria telah digunakan untuk proses penyemburan.
Di bahagian selatan Kuching pula pemeriksaan secara berkala dilakukan di sekolah, kedai-kedai arak, kampung, tempat makan dan kubur. Tandas-tandas baharu juga dibina dan penyemburan minyak juga telah dilakukan setiap minggu, manakala tangki kumbahan di Hospital Umum diperiksa secara berterusan.
Kerja-kerja pemasangan paip bawah tanah (subsoil) sepanjang 2,783 kaki telah dilakukan, dan usaha juga dibuat membina parit tanah sepanjang 895 kaki. Kerja-kerja penyelenggaraan permukaan parit sepanjang 2,240 kaki telah dilaksanakan.
Taman
Tugas besar dalam usaha kesejahteraan masyarakat di selatan Kuching ini ialah membina semula Taman Awam Kuching. Taman ini banyak diguna pakai oleh penduduk di Kuching.
Usaha membina semula taman ini merupakan manifestasi hasrat Raja Vyner Brooke untuk menyediakan sebuah kawasan rekreasi yang indah dan menyihatkan kepada masyarakat di Kuching. Ketika itu taman ini memerlukan penambahbaikan yang lebih menyeluruh untuk proses membaiki dan mengindahkannya.
Pemeriksaan di bahagian tengah Kuching meliputi kawasan bazar, dan beberapa kawasan tertentu menjadi tumpuan lawatan pemeriksaan ini. Lawatan pemeriksaan ini termasuk mengawasi pembinaan petak binaan tanpa kebenaran, pemeriksaan secara rutin ke atas rumah tumpangan dan kawasan membasuh pakaian serta pemeriksaan ke atas bangunan-bangunan baharu.
Pembinaan
Pada masa sama, beberapa kemudahan urinari dan tandas telah dibina di Sekolah Polis di Jalan Nagor, manakala kemudahan urinari turut disediakan di Union Club dan Jalan MacDougall.
Di samping itu, pemantauan terhadap pembinaan 40 unit tandas sementara di berek Kubu, seberang sungai Sarawak telah dijalankan.
Satu usaha juga dijalankan oleh Jabatan Kesihatan adalah mengadakan ceramah dan demontrasi tentang kesihatan kepada guru-guru di sekolah vernakular Melayu. Guru-guru di sekolah ini juga dilatih untuk mengetahui tentang kesihatan.
Kawasan luar bandar Kuching juga tidak terkecuali dalam usaha memantapkan kesihatan dalam kalangan penduduk Sarawak. Beberapa kawasan telah dilawati seperti Kampung Skrak, Batu Kawa dan Kem Pesakit Kusta.
Usaha-usaha pemantapan kebersihatan ini membawa impak positif ke atas kesihatan penduduk di Kuching pada 1930. Ini kerana tiadanya kes-kes wabak penyakit seperti kolera dan cacar.
Hanya direkodkan dua kes Ankilostomiasis(penyakit jangkitan cacing tambang) dan dua kes cacar air. Terdapat juga penyakit lain yang tidak membawa wabak, seperti 16 kes malaria, demam, disenteri, enterik dan batuk kering.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.