AKTIVITI pembalakan merupakan salah satu aktiviti yang mula membugar pada zaman Brooke. Dari segi ekonomi Sarawak, pembalakan ini adalah salah satu komoditi perdagangan di Sarawak tetapi bukan yang utama.
Dari segi perdagangan nilai eksport balak meningkat dari $38,896 pada 1924 kepada $103,006 pada 1925.
Walaupun jumlah nilai eksport pembalakan ini nampaknya tinggi tetapi kerajaan Brooke menjalankan usaha agar industri pembalakan dapat dikawal untuk kelestarian masa depan penduduk Sarawak.
LARANGAN
Pada 1901 dalam mesyuarat Council Negri, Raja Charles Brooke pernah mengeluarkan larangan untuk melakukan eksploitasi pembalakan di Bahagian Pertama.
Cadangan beliau ini merupakan satu usaha mengawal kegiatan pembalakan.
Walaupun cadangan beliau ini tidak nampak apa-apa sekatan kepada kegiatan pembalakan tetapi usaha mengurus dan mengawal pembalakan ini giat dilakukan pada era pemerintahan Raja Vyner Brooke.
Pada era Raja Vyner Brooke telah ditubuhkan JabatanPerhutanan (1919).
Pada zaman beliau kod peraturan tentang hutan dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah diguna pakai pada 1920.
Beberapa kawasan pula dikenal pasti untuk dijadikan kawasan hutan simpanan.
Antaranya adalah Gunung Selang di Bahagian Pertama telah dikenal pasti sebagai kawasan hutan simpanan. Sehingga 1930 Bahagian Pertama telah mempunyai hampir 10 peratus kawasan hutan simpan.
PAYA BAKAU
Pada 1929, kerajaan Brooke mengenal pasti dua kawasan untuk menjadi kawasan hutan simpan di Bahagian Ketiga.
Pertama adalah Bukit Lima yang mempunyai keluasan 1,765 ekar, manakala kawasan bakau seluas 8,724 ekar di Rajang juga telah dijadikan kawasan hutan simpan.
Dengan mewujudkan kawasan bakau sebagai kawasan hutan simpan menunjukkan bahawa pihak kerajaan Brooke sedar akan kepentingan hutan bakau kepada Sarawak.
Malah pada 1930, kawasan hutan simpan bakau ini diluaskan lagi dengan keluasan kira-kira 6,000 ekar.
Usaha ini merupakan langkah untuk memulih kawasan paya bakau tersebut yang telah dieksplotasi oleh Island Trading Company.
Syarikat ini telah diberi hak untuk mengeksploitasi hutan bakau tersebut. Jabatan Hutan percaya mereka mampu untuk memulihkan kawasan berkenaan.
Mengikut statistik eksport kulit pokok bakau menunjukkan peningkatan dari segi jumlah hasilnya. Hal ini menjadi perkiraan bagi kerajaan Brooke untuk mengawal eksploitasi pokok bakau.
Tambahan daripada itu, kawasan paya seluas kira-kira 7,000 ekar di Pasai-Siong di Bahagian Ketiga juga telah diwartakan pada tahun sama.
Seterusnya di Bahagian Keempat pada tahun sama, pihak kerajaan telah mewartakan kawasan di Sungai Segan yang berkeluasan 1,870 ekar sebagai kawasan hutan simpan.
Pewartaan Bukit Hitam sebagai kawasan hutan simpan di Bahagian Kelima mempunyai maksud tersendiri.
Kawasan yang hanya mempunyai keluasan kecil iaitu 154 ekar menjadi kawasan penting untuk melindungi simpanan air di Limbang.
Selain itu dua lagi kawasan iaitu Terentang dan Kayangeran pada 1929 dalam tempoh penelitian untuk dijadikan kawasan hutan simpanan.
Antara cabaran besar untuk Jabatan Hutan mewujudkan kawasan hutan simpan adalah kemusnahan hutan dara oleh pertanian pindah.
Keadaan ini berlaku pada 1931 apabila usaha untuk melakukan tinjauan di kawasan Roban dan Nyabor telah musnah akibat aktiviti pertanian tersebut.
Oleh itu cadangan untuk mewujudkan kawasan hutan simpan Jalan Sabu, Bahagian Kedua terpaksa diabaikan.
Keadaan serupa juga di Daerah Krian apabila tidak ada lagi hutan dara yang tinggal untuk dijadikan kawasan hutan simpan.
Hanya di Ulu Ai Bahagian Kedua sahaja dapat dikenal pasti kawasan yang mempunyai simpanan hutan dara. Aktiviti pertanian pindah banyak memberi kesan kepada kerosakan hutan dara di Bahagian Kedua.
KELESTARIAN
Jabatan Hutan juga menjalankan sivikultur (sylviculture) bagi menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan hutan.
Usaha-usaha sivikultur ini termasuklah melakukan penanaman semula pokok-pokok hutan.
Masalah kewangan pada 1931 menyebabkan usaha tinjauan penilaian terpaksa dihadkan.
Keadaan ini disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia yang mempengaruhi usaha tinjauan penilaian tersebut.
Hanya kawasan seluas 1,026 ekar sahaja diluluskan dengan kos perbelanjaan sebanyak 67 sen satu ekar.
Perbelanjaan kecil ini menyebabkan tiada sampel baharu digunakan dalam tinjauan penilaian tersebut.
Jabatan Perhutanan ini juga mendapat hasil cukai eksport daripada kayu-kayan ke luar Sarawak.
Jabatan Kastam bertindak untuk mengutip cukai kastam.
Pada 1932 sebanyak $83,049 telah diperoleh daripada hasil hutan, manakala perbelanjaan Jabatan Hutan ini pula sebanyak$74,916.
MELINDUNGI HUTAN
Pada Julai 1934 usaha untuk mewujudkan hutan simpan ditambah dengan usaha untuk melindungi hutan.
Usaha ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang tidak perlu dan bertindih dengan usaha mewujudkan hutan simpan tetapi ia memberi peluang lebih terbuka untuk melindungi kawasan hutan.
Bagi menjayakan usaha ini, eksplorasi telah dilakukan untuk meninjau kawasan hutan yang mempunyai potensi untuk dilindungi. F. J. Wright misalnya telah pergi ke hulu (ulu) Gedong yang meliputi kawasan antara Ensebang dan Kerangan yang telah dilindungi.
Kajian beliau menunjukkan bahawa terdapat kawasan hutan bukit di barat dan timurnya yang sesuai untuk hutannya dilindungi.
Di Bahagian keempat, usaha dijalankan oleh Pembantu Pegawai Hutan, Carroll telah memperakukan kawasan antara Niah dan Sungai Suai sesuai untuk dilindungi.
Penolong Pegawai Hutan, Buxton yang melakukan ekplorasi di Tutoh, Baram telah mengenal pasti kawasan hutan bukit di wilayah Batu Belah mempunyai potensi untuk dilindungi.
CABARAN
Usaha untuk mewartakan kawasan pelindungan hutan ini kadangkala menghadapi jalan yang mudah dan adakala juga agak sukar.
Kawasan Pelagus misalnya menghadapi kesukaran untuk melakukan usaha mewujudkan sempadan bagi kawasan hutan untuk dilindungi kerana berlaku penentangan penduduk tempatan.
Bagi mencapai penyelesaiannya usaha telah dibuat untuk berunding dengan penduduk tempatan tentang hal tersebut.
Usaha penandaan sempadan hutan di hutan Bah-Sama, dan Menyong, Bahagian Ketiga tidak menghadapi masalah.
Hanya kerja-kerja di kawasan Menyong menghadapi sedikit gangguan alam apabila berlaku banjir.
Usaha-usaha dilakukan oleh kerajaan Brooke dalam melindungi hutan Sarawak ini mempunyai tujuan untuk memelihara sumber hutan.
Ini kerana eksploitasi hutan berlebihan dan pertanian pindah menyebabkan banyak kayu-kayan yang berharga telah musnah.
Atas sebab itulah kawasan hutan Sarawak ini perlu dilindungi untuk membantu penjanaan ekonomi penduduk Sarawak lebih berkesan dan lestari.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).