GABUNGAN Kerajaan Perpaduan terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Istilah ini merupakan satu jenama politik selepas baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddinAl-Mustafa Billah Shah ketika itu yang menitahkan agar Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.
Titah tersebut disambut oleh pelbagai parti teras kecuali Perikatan Nasional yang menolak untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dan tidak mahu bekerjsama dengan PH yang sudah menjadi prinsip PN.
Penolakan itu menyebabkan PH bekerjasama dengan blok parti lain seperti BN, GPS, GRS dan beberapa parti lain untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pada awal pembentukan Kerajaan Perpaduan, Presiden PAS, Hadi Awang pernah menyatakan pembentukan ini dijangka hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja.
Namun pada minggu ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun ke-2 penubuhan Kerajaan perpaduan.
Dalam tempoh dua tahun pentadbiran sebagai Perdana Menteri, Anwar telah menunjukkan keberanian politik, ketekunan dalam menyelesaikan isu-isu kritikal, dan wawasan besar untuk mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial negara.
Kepemimpinan beliau dalam menerajui Kerajaan Perpaduan merupakan langkah penting yang mencerminkan kematangan politik dan keupayaan untuk mendamaikan perbezaan ideologi demi kestabilan negara.
PENYATUAN, KESEIMBANGAN POLITIK
Walaupun sering dikritik sebagai rapuh, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk oleh Anwar sebenarnya berjaya menjadi platform untuk memupuk persefahaman antara pelbagai parti dengan ideologi berbeza.
Keseimbangan ini adalah satu pencapaian yang tidak boleh diremehkan dalam konteks pasca-PRU15, apabila negara berhadapan risiko ketidaktentuan politik yang lebih parah.
Sebagai contoh, Anwar berjaya menjadikan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional – dua gabungan yang sebelumnya berseteru– bekerjasama dalam satu kerajaan.
Ini membuktikan kebolehan Anwar untuk memimpin melalui diplomasi, mengimbangi kepentingan pelbagai pihak tanpa mengabaikan aspirasi rakyat.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) memanfaatkan gabungan ini untuk mendapatkan hak-hak Sarawak dan mendapat tawaran yang lebih baik untuk pembangunan Sarawak.
Kerjasama padu bersama dua Timbalan Perdana Menteri mencerminkan hubungan yang akrab dan semangat berpasukan bagi menerajui negara.
KECEKAPAN EKONOMI, KESEJAHTERAAN SOSIAL
Pentadbiran Anwar menunjukkan kesungguhan dalam menstabilkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Tumpuan beliau kepada isu kos sara hidup, gaji progresif, reformasi subsidi bersasar, dan usaha mengurangkan ketirisan kewangan adalah langkah penting untuk memastikan ekonomi negara lebih mampan dan inklusif.
Sebagai tambahan, pembaharuan ekonomi yang diperkenalkan Anwar menunjukkan hasil positif, termasuk kadar inflasi rendah kepada sekitar 1.8 peratus, kadar pengangguran 3.2 peratus, kadar
KDNK sekitar lima peratus turut menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai tinggi ke Malaysia, sebanyak RM40 bilion pada 2023. Komitmen beliau terhadap tadbir urus yang baik, integriti dan ketelusan telah meningkatkan keyakinan pelabur.
Ini bukan sahaja membantu mengukuhkan ekonomi negara tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.
Dalam aspek sosial, dasar-dasar inklusif Anwar telah memberikan perhatian kepada kumpulan-kumpulan terpinggir.
Program bantuan seperti STR (Sumbangan Tunai Rakyat) diperkukuhkan untuk memastikan ia sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Komitmen ini memperlihatkan kepimpinan yang tidak hanya tertumpu kepada angka tetapi kepada kesejahteraan insan.
PENDEKATAN TERBUKA TERHADAP SABAH, SARAWAK
Salah satu kejayaan besar pentadbiran Anwar ialah pendekatan beliau terhadap Sabah dan Sarawak.
Berbanding tanggapan bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya digunakan sebagai alat politik, Anwar telah menunjukkan komitmen serius dalam menangani tuntutan kedua-dua negeri ini.
Langkah konkrit seperti menyerahkan semula kuasa kawal selia gas kepada Sarawak dan mempercepatkan penyelesaian isu royalti minyak membuktikan bahawa pentadbiran beliau mengutamakan keadilan dan keseimbangan pembangunan antara wilayah.
Namun ia perlu dilakukan umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Tindakan ini bukan sekadar ‘membeli masa’ seperti didakwa oleh pengkritik, tetapi adalah usaha berterusan untuk memperkukuh perpaduan nasional.
Sabah dan Sarawak kini mempunyai suara yang lebih besar dalam pentadbiran negara, satu perkembangan yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini.
Sudah tentu ini memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mendapatkan hasil yang berbeza sesuai dengan keperluan negara dan aspirasi peringkat negeri.
KEBERANIAN MENGHADAPI KRITIKAN, CABARAN POLITIK
Walaupun menghadapi cabaran besar dalam meraih sokongan pengundi Melayu-Islam, pendekatan Anwar yang menekankan kesederhanaan adalah strategi jangka panjang yang berkesan.
Seminar Penghayatan Sahih Al-Bukhari, program-program agama yang diadakan di kediaman rasmi dengan menjemput tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia mencerminkan wacana dan dialog ilmu diberikan tempat dan kedudukan.
Tidak seperti naratif ekstrem yang dibawa oleh sesetengah pihak, Anwar berusaha mengimbangi nilai-nilai Islam dengan prinsip keadilan sosial untuk semua kaum.
Keprihatinan beliau mengenai isu kezaliman rakyat di Palestin bukan hanya sekadar memancing sokongan tetapi mencerminkan sensitiviti beliau terhadap isu-isu global yang relevan dengan masyarakat Malaysia dan dunia.
Isu kezalimman Israel adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu didukung oleh warga dunia. Hal ini memperkukuhkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif di persada antarabangsa.
KERAJAAN PERPADUAN SEBAGAI MODEL KEPIMPINAN BARU
Anwar telah memperkenalkan pendekatan kepimpinan yang berbeza, mengutamakan musyawarah dan konsensus berbanding autoritarianisme.
Kritikan bahawa pentadbiran beliau tidak tegas sebenarnya menggambarkan salah faham terhadap konsep demokrasi inklusif yang cuba diterapkan.
Setiap dasar yang dilaksanakan memerlukan persetujuan bersama dalam Kerajaan Perpaduan, yang pastinya memerlukan masa.
Namun, ini tidak bermakna pentadbiran beliau lemah.
Sebaliknya, ia menunjukkan kesediaan Anwar untuk mendengar, menghormati pandangan rakan gabungan, dan memastikan setiap keputusan membawa manfaat kepada semua rakyat Malaysia.
Dapat dirumuskan bahawa kepemimpinan Anwar Ibrahim selama dua tahun telah meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi Malaysia.
Kritikan terhadap beliau perlu dilihat dalam konteks realiti politik dan cabaran yang diwarisi daripada pentadbiran sebelumnya.
Sebagai seorang pemimpin berpandangan jauh, Anwar memerlukan masa untuk merealisasikan agenda-agenda besar yang telah dirangka.
Pentadbiran beliau perlu diberikan peluang untuk terus memperkukuhkan kestabilan politik, meningkatkan kesejahteraan rakyat, dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia.
Dengan hala tuju yang jelas dan sokongan berterusan daripada rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpotensi menjadi tokoh yang mengubah landskap politik Malaysia untuk generasi akan datang.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).