Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Pengorbanan Nabi Ibrahim AS: Lambang ketaatan dan keimanan sejati
  • RENCANA

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS: Lambang ketaatan dan keimanan sejati

Utusan Sarawak 20 hours ago
JEMAAH haji dari seluruh dunia menunaikan ibadah melontar jamrah sebagai permulaan sambutan Aidiladha. Ibadah melontar yang dilaksanakan jemaah haji di Mina bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah membawa maksud lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri dan penolakan sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim. Foto BERNAMA

MENJELANG tibanya Aidiladha, umat Islam di seluruh dunia mengingati kembali kisah agung Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.

Sebuah kisah yang bukan sekadar sejarah, tetapi sarat dengan nilai pengorbanan, keimanan dan ketaatan yang luar biasa kepada Allah SWT.

Peristiwa agung ini bukan hanya tentang penyembelihan haiwan korban, tetapi menyampaikan satu mesej yang besar yakni pengorbanan yang lahir dari ketaatan mutlak kepada perintah Ilahi.

Nabi Ibrahim AS sanggup mengorbankan anak kesayangannya, manakala Nabi Ismail AS pula bersedia menerima takdir dengan reda.

Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Perintah ini datang selepas bertahun-tahun lamnya Nabi Ibrahim AS berdoa untuk dikurniakan zuriat.

Apabila doa itu dimakbulkan dan anak yang dinanti telah membesar, datang pula ujian yang berat, yakni menyembelih anak tersebut sebagai tanda mutlak kepada Allah SWT.

Kedua-duanya menjadi lambang iman yang sejati, satu cerminan yang amat diperlukan dalam masyarakat hari ini. 

Kisah ini dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran surah as-Saffat yang bermaksud: “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: ‘Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu. ‘Ia menjawab: ‘Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (surah as-Saffat ayat 102)

Kemudian diteruskan dalam ayat berikut: “Maka tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya ke atas pelipis (nya), (nyatalah kesabaran keduanya).” (surah as-Saffat 103) 

“Dan Kami panggilah dia: Wahai Ibrahim! Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu.’ Seseungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (surah as-Saffat 104-105) 

HIKMAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM AS

Melalui kisah ini, ketaatan yang mutlak kepada Allah SWT akan membawa kepada keredhaan dan ganjaran yang besar.

Allah SWT tidak menzahirkan perintah itu untuk benar-benar menyembelih anak, tetapi untuk menguji dan menzahirkan keikhlasan serta kepatuhan seorang hamba terhadap Rabb-nya.

Allah SWT kemudiannya menggantikan Nabi Ismail dengan seekor semblihan dari syurga. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami tebus anak itu dengan seekor semblihan yang besar.” (surah as-Saffat 107)

Lantaran itu, ibadah korban disyariatkan kepada umat Islam pada Aidiladha sebagai simbolik daripada peristiwa ini.

Ia bukan sahaja sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketundukan dan pengorbanan kepada Allah SWT.

Sebagaimana Allah SWT menegaskan dalam surah al-Hajj ayat 37: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.” 

Ini membuktikan bahawa yang penting dalam ibadah bukanlah bentuk fizikalnya semata-mata, tetapi nilai spritual dan keikhlasan yang terkandung dalam pelaksanaannya.

Dalam masa yang sama, kisah ini juga menekankan pentingnya mendidik anak dengan nilai iman sejak kecil. Nabi Ismail AS tidak hanya patuh, tetapi memberi semangat kepada ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah SWT.

Ini menjadi teladan bahawa kejayaan mendidik anak bukan hanya terletak pada aspek duniawi, tetapi juga dalam membentuk akhlak dan iman yang kukuh.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Apabila anak Adam mati, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Perang Tabuk

PADA tahun kesembilan Hijrah, Rasulullah SAW telah menggerakkan angkatan tentera menuju ke Tabuk.

Sebelum berangkat ke medan Tabuk, Rasulullah SAW telah menyarankan kepada para sahabat untuk menginfakkan harta-harta mereka untuk dibelanjakan bagi kegunaan perang Tabuk ini.

Oleh itu, Saidina Umar bin Al Khattab telah menginfakkan separuh daripada hartanya.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa, “Ketika berlangsungnya perang Tabuk, kaum muslimin ditimpa kelaparan.”

Kemudian mereka mencadangkan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apa kata jika engkau izinkan kami untuk menyembelih unta-unta tunggangan kami agar kita dapat memakan dagingnya dan memanfaatkan lemaknya?”

Rasulullah SAW menjawab, “Lakukanlah”. Tidak lama kemudian Saidina Umar bin Al Khattab datang dan berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, jika engkau mengizinkan untuk melakukan sedemikian, maka akan berkuranglah bekalan kita.

“Bagaimana jika engkau memerintahkan mereka untuk mengumpulkan bekalan-bekalan mereka yang masih tinggal, kemudian engkau berdoa ke pada Allah agar memberi berkah atas sisa bekalan itu bagi mereka?

Mudah-mudahan Allah berkenan mengabulkannya”. Rasulullah menjawab “Ya”.

Kemudian Rasulullah SAW meminta sehelai tikar kulit dan membentangkannya. Lalu baginda memerintahkan mereka untuk mengumpulkan saki-baki bekalan mereka.

Maka ada yang datang membawa segenggam gandum dan ada yang datang membawa segenggam kurma. Sehingga di atas tikar kulit itu terkumpul sisa perbekalan yang hanya sedikit.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa agar sisa perbekalan itu diberkati Allah SWT. Baginda bersabda, “Ambillah saki-baki bekalan ini dan penuhkanlah bekas kamu masing-masing”.

Mereka pun mengisi bekas mereka hingga tidak ada satu bejana pun di perkhemahan itu kecuali sudah terisi penuh.

Mereka semua makan sampai kenyang. Namun demikian, masih terdapat sisa makanan. Rasulullah  SAW kemudian bersabda, “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku adalah utusan Allah. Tidak ada seorang pun yang mati dengan kedua syahadah itu tanpa ragu yang terhalang masuk syurga”. 

(Riwayat Muslim)

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Kurang barang, hidup tenang: Minimalis untuk kesejahteraan mental
Next: Korban: Pengertian mudah untuk difahami

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.