MIRI: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan teknologi ‘remote sensing’ iaitu penggunaan hiperspektral apabila Unit Pengesanan Udara Sarawak (SADU) secara rasminya dilancarkan di sini semalam.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) merupakan pelopor teknologi hiperspektral kerana menjadi satu-satunya agensi kerajaan di negara yang mempunyai keupayaan dan kemahiran menggunakan sistem udara berteknologi canggih tersebut.
“Ini adalah selari dengan visi dan misi Kerajaan Sarawak untuk mencapai ‘world class civil service’ dalam sektor teknologi digital sekali gus menyumbang kepada inisiatif Kerajaan Digital oleh Kerajaan Sarawak melalui penjenamaan semula SADU yang kini dikenali sebagai Unit Pengesanan Udara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan SADU di Pangkalan Operasi Sistem Udara DA42-MPP, Hornbill Skyways Hangar di Miri, semalam.
“SADU dahulunya dikenali sebagai Unit Pembangunan Aplikasi Sistem adalah untuk membangunkan aplikasi berasaskan teknologi hiperspektral dan geospatial bagi kegunaan penyelidikan di Jabatan Hutan Sarawak selepas ditubuhkan pada 2008.
“Aplikasi yang telah dibangunkan sejak sedekad lalu ini bukan sahaja boleh diguna oleh agensi kerajaan di Sarawak, malah dapat dikembangkan ke Sabah serta Semenanjung Malaysia,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, perubahan tersebut dilakukan selepas mengambil kira peranan dan tugasan yang semakin besar dibantu dengan pesawat DA42-MPP.
“Selain digunakan dalam misi penguatkuasaan udara dan pengurusan sumber asli negara, unit ini dijangka dapat memberi bantuan dari aspek maklumat geospatial sekiranya berlaku bencana alam seperti banjir, kebakaran hutan, pemantauan sempadan negara dan lain-lain misi kepada agensi-agensi kerajaan di Sarawak, Sabah serta Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling