
MIRI: Cadangan penggunaan bas elektrik di bandar raya ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menyokong aspirasi Sarawak untuk membangunkan Miri sebagai bandar pintar, rendah karbon dan mesra alam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penggunaan pengangkutan awam berasaskan tenaga elektrik bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon, malah turut mengurangkan pencemaran bunyi, sekali gus mewujudkan persekitaran bandar yang lebih bersih dan selesa.
Beliau berkata cadangan penggunaan bas elektrik itu telah dikemukakan kepada Datuk Bandar Miri dan pihak berkaitan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas penggunaan teknologi rendah karbon di Sarawak.

“Tadi saya cadang dengan Datuk Bandar dan rakan-rakan di Miri, mungkin kita gunakan bas elektrik di Miri.
“Bas elektrik ini tidak mempunyai asap dan bergerak tanpa bunyi. Maknanya Miri bukan sahaja bersih dari segi udara, malah lebih tenang tanpa pencemaran bunyi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Kebudayaan ‘Taste of Borneo’ (TOBC) 4.0 2026 di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata kapasiti bekalan tenaga di Miri dijangka terus dipertingkatkan menjelang 2029 bagi memastikan bekalan elektrik mencukupi untuk menyokong pembangunan bandar serta penggunaan pengangkutan hijau termasuk bas elektrik.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan agenda bandar pintar menerusi pendigitalan di Miri akan terus diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, penyampaian perkhidmatan awam serta keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Katanya, pembangunan bandar pintar tidak seharusnya hanya berteraskan kemajuan teknologi, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan agenda rendah karbon, penggunaan tenaga bersih dan sistem pengangkutan mesra alam.
Oleh Liong Chai Ling