Pengawal keselamatan maut kemalangan kendiri di Limbang

Facebook
WhatsApp
KENDERAAN mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan masuk ke dalam semak. Foto Bomba Limbang

LIMBANG: Seorang pengawal keselamatan maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Kampung Bakol, petang tadi.

Mangsa berusia 24 tahun dari Kampung Lubuk Tuan itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya ketika kejadian berlaku pada sekitar 6.02 petang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu dari bandar Limbang menuju ke Medamit hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Kenderaan mangsa kemudian melanggar batang paip dan terbabas masuk ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan pada bahagian muka dan kepala.

Oleh Adeng Edrus