

LIMBANG: Seorang lelaki yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah ditahan bersama syabu dalam Op Tapis di Kampung Meritam, semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot, berkata suspek berusia 38 tahun ditahan di kawasan hadapan rumah tidak bernombor di kampung tersebut pada 4.40 petang.
“Lelaki terbabit ditahan bersama satu paket plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu, beranggaran berat 0.2 gram.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan suspek merupakan seorang penganggur dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak awal 2024.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. K
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Oleh Adeng Edrus