
SIBU: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun berserta 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar syabu seberat 69.82 gram, dua tahun lepas.
Hakim Wong Siong Tung turut mengenakan hukuman penjara tiga tahun enam bulan berserta tiga sebatan terhadap tertuduh, Wong Lee Ming, 34, bagi satu lagi pertuduhan memiliki syabu seberat 21.83 gram.
Tertuduh diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditahan, 16 Februari 2023, yang mana hukuman penjara diarah berjalan serentak.
“Setelah mempertimbangkan rayuan dan faktor pemberat serta kepentingan awam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup yang bersamaan dengan 30 tahun penjara terhadap tertuduh bagi kesalahan pertama mengedar dadah.
“Hukuman penjara hendaklah bermula dari tarikh ditangkap pada 16 Februari 2023. Sebagai tambahan, tertuduh juga hendaklah menjalani minimun 12 sebatan.
“Bagi pertuduhan kedua yang dipinda bagi memiliki dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan, berkuatkuasa 16 Februari 2023. Sebagai tambahan, tertuduh juga dikenakan tiga sebatan,” kata Siong Tung dalam penghakimannya, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Lee Ming dituduh mengedar Methamphetamine seberat 69.82 gram di bilik tidur utama sebuah rumah di Lorong Ek Dee pada 16 Februari 2023, jam lebih kurang 7.10 malam, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2), ADB 1952.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memiliki Methamphetamine seberat 21.83 gram di ruang tamu rumah sama di Lorong Ek Dee, pada tarikh dan masa yang sama. Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan dihukum di bawah sub Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Terdahulu sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto merayu kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor utama iaitu kepentingan awam.
“Tertuduh telah disabitkan bagi pertuduhan mengedar dan memiliki sejumlah dadah iaitu 91.65 gram Methamphetamine. Motif di sebalik jenayah yang dilakukan tertuduh adalah bagi memenuhi ketagihannya.
“Tiada kredit harus diberikan kepada tertuduh untuk penyesalan dalam kes ini kerana dia tidak mengaku bersalah pada peringkat pertama. Tertuduh tetap mengaku tidak bersalah dan meminta perbicaraan penuh.
“Perbicaraan kes tertuduh bukan sahaja melibatkan kos yang besar kepada orang ramai tetapi ia juga mengambil masa berharga di Mahkamah Yang Mulia ini,” ujarnya sambil menambah tertuduh juga seorang penjenayah tegar serta mempunyai beberapa kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik.
Peguam tertuduh, Daren Ling dalam rayuan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara seumur hidup terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 39B, ADB 1952.
“Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 39(A)(1), pihak pembela merayu hukuman penjara minimum dikenakan oleh mahkamah,” ujarnya.
Oleh Akun Giman