
KUALA LUMPUR: Pengamal media perlu melengkapkan diri dengan kemahiran keusahawanan serta kefahaman mendalam terhadap dinamik pasaran seiring usaha Malaysia memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, kata Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Ashwad Ismail.
Ashwad berkata usaha memperluas asas keusahawanan negara, termasuk dalam kalangan wartawan muda dan pencipta kandungan, penting bagi menyokong sasaran memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta memacu ekonomi berasaskan inovasi.
“Untuk menjadi negara keusahawanan yang hebat, kita memerlukan lebih 1.3 juta PKS di Malaysia. Kita juga perlu sekurang-kurangnya 25 peratus masyarakat menjadi usahawan, iaitu kira-kira tujuh juta orang.
“Kita perlu memberi fokus kepada perkara ini, khususnya golongan muda seperti wartawan dan pencipta kandungan yang turut perlu mempelajari aspek keusahawanan,” katanya selepas sesi perkongsian bertajuk “Sustaining Media in Times of Crisis: Challenges and Revenue Realities” sempena Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.
Mengulas peranan kecerdasan buatan (AI), Ashwad yang juga Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia berkata antara cabaran utama industri media ialah membina kepercayaan awam serta memastikan media arus perdana terus berkesan dalam membantu masyarakat membuat keputusan bermaklumat ketika krisis.
“Ia bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi juga soal keseimbangan bagi memastikan industri media mampu bertahan dalam jangka panjang sebagai perniagaan. Keseimbangan ini amat penting.
“Kita faham dalam era AI dan perbincangan di platform media sosial, perkara ini perlu diberi perhatian dengan melibatkan bukan sahaja orang awam dan semua pihak berkepentingan, tetapi juga pemain antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata industri media perlu bekerjasama lebih erat dengan syarikat teknologi global kerana tindakan kolektif itu mampu memperkukuh suara industri serta membantu penyesuaian terhadap perubahan pesat dalam landskap media digital dan berasaskan AI.
“Aliran trafik tidak lagi hanya berpindah dari media sosial semata-mata. Berdasarkan data, hampir 40 peratus orang kini mencari maklumat bukan sahaja di Google tetapi juga di platform AI seperti ChatGPT dan DeepSeek.
“Jadi, adakah kita akan menentang syarikat teknologi? Pada pandangan peribadi saya, jangan lawan mereka. Bekerjasama dengan mereka, cari cara untuk berkolaborasi, dan bekerjasama merentasi pelbagai sektor,” katanya.”
Forum tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menghimpunkan ketua-ketua organisasi media termasuk dari Sabah dan Sarawak, wakil media asing di Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan dalam landskap media negara.
Buat pertama kali, Forum Media HAWANA diadakan sebagai acara sehari bersempena sambutan HAWANA 2026 pada 20 Jun bagi memperkukuh perbincangan serta pertukaran idea yang lebih mendalam. – Bernama